Dua maut nahas tiga lori di Lebuhraya Utara-Selatan

Nahas jalan raya hingga menyebabkan maut melibatkan tiga lori di Lebuhraya Utara-Selatan awal pagi tadi/Foto Polis Kulai

KULAI, 17 Jun — Dua individu maut dalam kemalangan membabitkan tiga lori di Kilometer (km) 49.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Kulai, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa ialah pemandu lori tempatan berusia 43 dan kelindan warga Bangladesh berusia 56.
  • Kedua-duanya sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di bahu kiri jalan ketika kejadian.
  • Lori dipercayai merempuh mangsa; pemandu lori (40) dan kelindan (23) mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Kulai.
  • Mayat dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim untuk bedah siasat; kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner (ACP) Tan Seng Lee berkata, mangsa yang maut ialah seorang pemandu lori tempatan berusia 43 tahun dan kelindannya warga Bangladesh berusia 56 tahun.

Kedua-dua mangsa ketika itu sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di bahu kiri jalan.

“Kedua-dua mangsa dipercayai dirempuh sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 40 tahun bersama kelindannya berusia 23 tahun yang datang dari arah sama.

“Akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu dan kelindan lori yang melanggar mangsa mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Hospital Kulai.

Seorang lagi pemandu lori yang berada di lokasi kejadian bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.