
BANGI, 15 Jun – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal menganjurkan Program Alumni Balik Kampus 2026 berskala mega bagi menghimpunkan semula bekas pelajarnya merentasi pelbagai generasi dan bidang pekerjaan.
- Objektif utama: perkukuh semangat kekitaan, galakkan penglibatan alumni dalam pembangunan pelajar dan budaya sumbangan kembali kepada universiti.
- Pelbagai acara dirancang: Hi-Tea, sukan antara kolej, forum perdana, bacaan Yasin, hari terbuka kolej dan konsert gala.
- Interaksi alumni memberi manfaat langsung kepada mahasiswa melalui perkongsian kerjaya, kepimpinan, keusahawanan, mentoring, latihan industri dan pembangunan profesional.
- Komuniti alumni seramai lebih 254,000 sejak 1970 dianggap aset besar yang menaikkan reputasi UKM di peringkat nasional dan antarabangsa.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman berkata program itu menjadi platform untuk memperkukuh hubungan alumni dengan alma mater yang mampu menyumbang kepada pembangunan universiti dan mahasiswa semasa.
“UKM menyasarkan beberapa objektif utama termasuk memperkasa semangat kekitaan, menggalakkan penglibatan alumni dalam pembangunan pelajar serta membudayakan sumbangan semula kepada universiti melalui kepakaran, penajaan dan filantropi,” katanya dalam satu kenyataan.
Pelbagai pengisian dirancang sepanjang program yang dijadual berlangsung selama lima hari mulai 18 Jun ini antaranya Hi-Tea Alumni UKM, Sukan Alumni Antara Kolej, Forum Perdana dan Bacaan Yasin Alumni, Hari Terbuka Kolej Kediaman serta Konsert Gala Alumni “Melodi Sepanjang Zaman”.
Tambahnya, alumni yang berminat menyertai program tersebut boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui media sosial dan laman sesawang rasmi Alumni UKM.
“Mahasiwa semasa bakal mendapat manfaat menerusi interaksi langsung bersama alumni termasuk perkongsian pengalaman kerjaya, kepimpinan, keusahawanan, peluang mentoring, latihan industri dan pembangunan profesional,” katanya.
Sejak penubuhannya pada 18 Mei 1970, UKM memiliki lebih 254,000 alumni, dengan komuniti itu disifatkan sebagai aset besar yang berjaya mengangkat reputasi universiti di peringkat nasional dan antarabangsa.