Kemalangan tumpahan asid: JAS sahkan tiada pencemaran alam sekitar

Kira-kira 1,000 liter cecair asid tumpah dan mengalir ke dalam kawasan paya bakau berhampiran, susulan kemalangan lori tangki yang berlaku pada pukul 7.30 pagi semalam./ JBPM

KUANTAN, 14 Jun – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang mengesahkan tiada pencemaran alam sekitar dikesan susulan kemalangan melibatkan sebuah lori tangki yang membawa asid hidroklorik (HCL) berhampiran Jambatan Cherating, pada pagi semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ujian di tiga lokasi paya bakau sebelum Sungai Cherating mendapati bacaan pH normal pH 6.
  • Pemantauan di Sungai Cherating menggunakan YSI rekod pH 9.4, menunjukkan tiada pencemaran asid.
  • JBPM Pahang berjaya menutup venting line belakang tangki untuk mengelakkan tumpahan lebih banyak.
  • Anggaran tumpahan kira-kira 1,000 liter dinetralkan menggunakan soda ash; tiada tumpahan lain dikesan.

JAS Pahang dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menjalankan ujian air di lokasi berhampiran tumpahan asid hidroklorik tersebut.

“Ujian berkenaan dilakukan di tiga lokasi di kawasan paya bakau sebelum memasuki Sungai Cherating yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian dan mendapati bacaan pH adalah normal, iaitu pH 6.

“Pemantauan bacaan pH dengan menggunakan peralatan YSI di Sungai Cherating pula mendapati bacaan pH air sungai adalah pH 9.4, menunjukkan tiada pencemaran asid,” menurut kenyataan itu.

JAS melaksanakan ujian air di tiga lokasi di kawasan paya bakau yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kemalangan dan mendapati bacaan pH adalah normal, iaitu pH 6./ JAS

JAS memaklumkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Pahang juga telah berjaya menutup venting line di bahagian belakang tangki seterusnya mengelakkan tumpahan yang banyak.

“Anggaran tumpahan adalah kira-kira 1,000 liter dan telah dineutralkan menggunakan soda ash. Tiada tumpahan lain dikesan,” menurut kenyataan itu.

Menurut jabatan itu, sebarang pelepasan bahan pencemar yang menyebabkan pencemaran alam sekitar dan didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] akan disiasat dengan teliti.

Sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap peruntukan akta tersebut, tindakan penguatkuasaan yang tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Kenyataan itu memaklumkan JAS akan terus menjalankan pemantauan berkala di lokasi kejadian dan kawasan sekitarnya bagi memastikan tiada kesan pencemaran berlaku serta memastikan semua langkah kawalan dan pembersihan dilaksanakan sepenuhnya mengikut keperluan ditetapkan.

Sebelum ini, seorang lelaki dilaporkan cedera selepas lori muatan asid hidroklorik dipandunya terbalik di Cherating, di sini pagi semalam, mengakibatkan cecair berkenaan tumpah dan mengalir ke dalam paya bakau.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.