
ISLAMABAD, 13 Jun – Teks akhir perjanjian damai antara Amerika Syarikat dengan Iran dilaporkan telah dipersetujui, sekali gus membuka laluan kepada usaha menamatkan konflik yang berlarutan di Asia Barat.
- Perdana Menteri Shehbaz Sharif berkata Pakistan bekerjasama rapat dengan kedua pihak untuk memuktamadkan langkah pelaksanaan perjanjian.
- Menteri Luar Iran Abbas Araghchi menyatakan perjanjian kini berada pada tahap paling hampir untuk dimeterai.
- Sharif dakwa wujud kempen maklumat palsu cuba menggagalkan usaha damai, namun rundingan diteruskan dengan sokongan kedua pihak.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berkata, Islamabad kini bekerjasama rapat dengan kedua-dua pihak bagi memuktamadkan langkah seterusnya ke arah pelaksanaan perjanjian berkenaan.
Menurut beliau, Pakistan yang bertindak sebagai pengantara sejak beberapa bulan lalu yakin rundingan tersebut semakin hampir mencapai penyelesaian.
“Perdamaian tidak pernah sedekat ini seperti yang kita saksikan sekarang,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, perjanjian dengan Amerika untuk menamatkan konflik di Asia Barat kini berada pada tahap paling hampir untuk dimeterai.
Kenyataan itu dibuat selepas Presiden Donald Trump menuduh Tehran berunding dengan niat yang tidak jujur.
Sharif turut mendakwa terdapat kempen maklumat palsu yang bertujuan menggagalkan usaha damai yang sedang diusahakan, namun menegaskan proses rundingan masih diteruskan dengan sokongan kedua-dua pihak.-AFP