
IPOH, 11 Jun- Kerajaan Perak mengambil maklum kebimbangan penduduk berhubung kehadiran warga Rohingya yang dilaporkan semakin ramai di beberapa kawasan di negeri itu khususnya di daerah Manjung.
- Isu kehadiran warga Rohingya dibincang dalam mesyuarat MKN dan kini dipantau oleh pihak berkuasa.
- Kerajaan negeri menerima pelbagai maklum balas serta keluhan daripada penduduk setempat.
- Pihak berkuasa memantau aspek keselamatan dan kesan terhadap komuniti dilaporkan ada rumah dan sekolah dibina.
- JKR dan UPEN diarahkan menilai cadangan naik taraf jambatan gantung termasuk keperluan, jenis pengguna, reka bentuk dan kos.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perkara berkenaan turut dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kini berada di bawah pemantauan pihak berkuasa.
Beliau berkata kerajaan negeri menerima pelbagai maklum balas serta keluhan daripada penduduk tempatan berhubung perkembangan itu.
Katanya, pihak berkuasa turut memantau situasi tersebut dari aspek keselamatan serta kesannya terhadap komuniti setempat.
“Saya tidak dapat anggaran, tetapi dalam maklumat saya ada yang telah membina rumah, walaupun tidak kukuh, dan ada juga sekolah. Sebab itu kita kena lihat dari banyak aspek termasuk aspek keselamatan kepada penduduk tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Bulan Falak Negeri Perak di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) diarahkan membuat penilaian terhadap cadangan menaik taraf jambatan gantung di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Tapah.
Datuk Seri Saarani berkata penilaian itu bertujuan menentukan keperluan sebenar projek termasuk jumlah pengguna serta jenis kenderaan yang menggunakan laluan berkenaan.
Menurutnya, perkara itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri semalam, selain melibatkan penilaian terhadap kesesuaian reka bentuk dan kos pembinaan.
“JKR dan UPEN akan meneliti justifikasi termasuk jenis kenderaan yang menggunakan laluan itu sebelum keputusan dibuat,” katanya.