
IPOH, 11 Jun – Kerajaan Negeri Perak sedang memperhalusi cadangan pembangunan Balai Cerap Negeri Perak dengan anggaran kos awal sebanyak RM38.65 juta bagi memperkukuh kemudahan falak serta memperluaskan pendidikan dan penyelidikan astronomi di negeri itu.
- Tapak cadangan utama di Pantai Pasir Panjang, Segari dengan keluasan kira-kira 9.4 ekar.
- Pelaksanaan projek diselaras oleh Jabatan Kerja Raya Perak termasuk reka bentuk dan penelitian teknikal.
- Balai cerap sedia ada akan dinaik taraf dan digunakan di lokasi baharu.
- Tujuan pembangunan memperluas ilmu falak dan astronomi serta menjadi tarikan pelancongan pendidikan di Perak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tapak cadangan utama projek berkenaan telah dikenal pasti di Pantai Pasir Panjang, Segari dengan keluasan kira-kira 9.4 ekar.
Menurut beliau, pelaksanaan projek itu akan diselaras oleh Jabatan Kerja Raya Perak termasuk aspek reka bentuk dan penelitian teknikal sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan.
“Kita serahkan kepada JKR untuk menguruskan keseluruhan pelaksanaan projek ini, termasuk pelantikan perunding serta reka bentuk yang bersesuaian.
“Kita juga akan menaik taraf balai cerap sedia ada yang akan digunakan di lokasi tersebut. Seperti yang saya nyatakan, tujuan utama pembangunan ini adalah untuk memperluaskan ilmu falak dan astronomi, bukan sekadar untuk melihat anak bulan semata-mata,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Bulan Falak Negeri Perak di sini, hari ini.
Tambah beliau, pembinaan balai cerap itu bukan sahaja berfungsi sebagai pusat cerapan falak rasmi negeri, malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan baharu berasaskan pendidikan dan astronomi, sekali gus memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan Perak.
Jabatan Kerja Raya Perak turut akan bertanggungjawab menyelaras keseluruhan pelaksanaan projek tersebut.