
SUBANG JAYA, 10 Jun – Walaupun kini berada dalam kelompok beregu lelaki terbaik dunia, pasangan negara Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani mengakui masih belum berpuas hati dengan pencapaian yang diraih setakat ini.
- Sze Fei dan Izzuddin masih tidak berpuas hati, mahu terus mengejar kejayaan lebih besar.
- Mereka tidak menetapkan sasaran khusus, namun bertekad untuk terus bersemangat dan memperbaiki prestasi.
- Masih banyak kejohanan utama yang belum mereka menangi, ia menjadi fokus pencapaian seterusnya.
- Izzuddin berharap lebih banyak penajaan swasta bagi menyokong pemain ke kejohanan besar; juara dunia dan emas Olimpik jadi sasaran utama.
Menurut Sze Fei, mereka tidak menetapkan sasaran khusus untuk mana-mana kejohanan, namun bertekad untuk terus memburu kejayaan.
“Saya rasa kita tidak menetapkan sasaran khusus untuk mana-mana kejohanan. Namun, kita tidak boleh berpuas hati dengan apa yang telah dicapai. Sebaliknya, perlu terus kekal bersemangat untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Izzuddin mengakui masih banyak lagi gelaran berprestij yang belum berjaya diraih oleh mereka.
“Masih terdapat banyak kejohanan utama yang belum berjaya kami raih,” katanya.
Mereka berkata demikian ketika ditemui pada program ‘Smash It’ Bersama FeiDin yang menghimpunkan peminat serta pengamal media menerusi sesi interaksi dan aktiviti badminton, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Izzuddin berharap lebih banyak syarikat swasta tampil menghulurkan bantuan kepada atlet profesional tempatan yang memerlukan penajaan bagi meneruskan kerjaya dan menyertai kejohanan di peringkat lebih tinggi.
“Saya harap lebih banyak syarikat swasta melihat peluang ini kerana bukan hanya kami, malah ramai lagi pemain profesional lain yang memerlukan sokongan. Mereka mempunyai bakat, namun kekurangan peluang dan penajaan untuk menyertai kejohanan-kejohanan besar,” katanya.
Menurut pasangan beregu nombor satu negara itu, gelaran juara dunia dan pingat emas Olimpik kekal menjadi antara sasaran utama yang ingin direalisasikan dalam karier mereka.