100 pelajar sertai Program Perintis ‘SRG Esports School 2026’

Foto RTM

SHAH ALAM, 10 Jun – Seramai 100 pelajar daripada 10 sekolah di Selangor terpilih bagi merintis edisi pertama program ‘SRG Esports School 2026’ bagi membentuk pasukan e-sukan sekolah yang berdisiplin dan berdaya saing tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama SRG dan Yayasan MBI menekankan latihan teknikal serta kemahiran insaniah seperti kepimpinan, etika, disiplin dan penjagaan akademik.
  • Yayasan MBI menyalurkan dana RM500,000 sebagai komitmen pembangunan modal insan dan menggalakkan penguasaan dunia digital secara positif.
  • Program berhasrat memperoleh pengiktirafan Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum PAJSK daripada Kementerian Pendidikan.
  • Dilaburkan sokongan rakan strategik industri dan pelancaran tepat pada masanya menjelang SUKMA, di mana e-sukan menjadi acara dipertandingkan.

Program hasil kerjasama Selangor Red Giants (SRG) dan Yayasan Menteri Besar Selangor (MBI) itu bukan sahaja memfokuskan kepada latihan teknikal permainan, malah menekankan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, etika, dan disiplin tinggi agar aspek akademik tidak diabaikan.

Ketua Yayasan MBI Selangor, Ahmad Azri Zainal Nor berkata, penglibatan agensi itu menerusi dana sebanyak RM500,000 merupakan satu manifestasi komitmen kerajaan negeri dalam pembangunan modal insan bagi memastikan anak muda di negeri berkenaan menguasai dunia digital secara positif.

“Kami mahu menunjukkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bahawa program e-sukan yang disusun rapi ini layak menerima pemarkahan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

“Ini adalah satu bidang ekonomi kreatif yang bernilai bilion ringgit. Kita mahu pelajar melihat potensi kerjaya dalam industri ini tanpa meninggalkan pelajaran mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran SRG Esports School 2026 di sini hari ini.

Tambah beliau, penyertaan Yayasan MBI adalah manifestasi pembangunan modal insan bagi memastikan anak muda Selangor memiliki nilai kepimpinan, etika, dan daya saing yang tinggi dalam dunia digital.

Program tersebut turut mendapat sokongan padu rakan strategik utama seperti Moonton, Esports Integrated (ESI), ZTE | Nubia, WTM Media, Playaz, dan Maqna Momento.

Selain latihan teknikal, SRG Esports School 2026 menekankan penerapan kemahiran insaniah seperti disiplin, kerja berpasukan, dan celik teknologi.

Pelancaran program berkenaan juga dianggap sangat tepat pada masanya memandangkan Selangor bakal menjadi tuan rumah bagi temasya SUKMA tahun ini, di mana e-sukan merupakan antara acara yang dipertandingkan.

Yayasan MBI bercadang untuk meneruskan dan memperluaskan lagi program ini pada tahun-tahun akan datang sekiranya edisi pertama mendapat sambutan menggalakkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.