SARA terus beri kelegaan rakyat

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 10 Jun – Pelaksanaan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus memberi kelegaan kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi
cabaran kos sara hidup.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penerima menggunakan SARA untuk membeli keperluan harian seperti beras, minyak masak dan keperluan persekolahan anak.
  • Bantuan mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah dan membantu suri rumah menampung keperluan asas keluarga.
  • Bagi pesara dan warga emas, SARA amat bermakna kerana menampung kos harian tanpa pendapatan tetap.
  • Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan kerajaan memastikan tiada golongan tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan negara.

Tinjauan RTM di beberapa premis yang menerima pembayaran SARA mendapati, penerima memanfaatkan sumbangan itu untuk membeli keperluan harian seperti beras, minyak masak serta keperluan persekolahan anak-anak.

Bagi suri rumah, Noraini Ismail, bantuan yang diterima telah dimanfaatkan untuk membeli keperluan rumah dan pada masa sama membantu golongan yang memerlukan.

“Dah belanja dah… dah lama dah. Beli barang rumah macam sabun dan keperluan lain. Itu bagus juga untuk membantu golongan kurang mampu,” katanya.

Seorang lagi suri rumah, Nurul Liana Abdul Razak berkata bantuan tersebut sedikit sebanyak membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah.

“Bagus, alhamdulillah. Dapat bantu perbelanjaan rumah dan kurangkan beban sedikit. Kalau boleh, kami harap bantuan itu dapat ditambah lagi,” katanya.

Sementara itu, pesara Mohammad Mokti menyifatkan bantuan berkenaan sebagai amat bermakna khususnya bagi golongan yang tidak lagi mempunyai pendapatan tetap.

“Memang bagus. Macam saya yang sudah pencen dan tiada pendapatan tetap, bantuan ini banyak membantu. Kalau boleh memang mahu ditambah, tetapi saya faham kerajaan juga mempunyai kekangannya,” katanya.

Bagi penerima warga emas, Yaakub Ahmad pula, bantuan yang diterima membantu beliau menampung kos perbelanjaan harian berikutan kenaikan harga barang.

“Banyak membantu, lebih-lebih lagi apabila harga barang semakin meningkat. Saya juga menerima bantuan bulanan dan bantuan tahunan. Semua bantuan itu telah digunakan untuk perbelanjaan harian saya,” katanya.

Bagi kesemua penerima, SARA disifatkan bukan sekadar bantuan kewangan, malah menjadi penyokong utama dalam memastikan keperluan asas keluarga terus dapat dipenuhi.

Inisiatif itu juga mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat berdepan cabaran kos sara hidup, sekali gus memastikan tiada golongan yang
tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.