
PASIR MAS, 10 Jun – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 600 batang kayu getah bersama tiga lori dengan nilai keseluruhan RM456,000.
- Pemandu gagal mengemukakan permit pemindahan kayu sah dari Jabatan Perhutanan; pemindahan tanpa permit melanggar Seksyen 84 Akta Perhutanan 1984.
- Siasatan awal mendapati kayu getah diambil dari kebun getah di Lubok Stol dan dihantar ke beberapa kilang sekitar kawasan.
- Kes dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Kelantan untuk siasatan serta tindakan lanjut.
Rampasan itu dilakukan selepas menahan tiga pemandu yang gagal mengemukakan permit pemindahan kayu di Kampung Tok Pelanduk, Batu Karang, petang Selasa.
Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota mengesan tiga lori yang dipandu lelaki tempatan berusia antara 38 hingga 65 tahun dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga lori itu membawa 200 batang kayu getah setiap satu menjadikan keseluruhan rampasan sebanyak 600 batang kayu getah.
“Pemandu juga gagal mengemukakan permit pemindahan kayu yang sah daripada Jabatan Perhutanan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati kayu getah berkenaan diambil dari kawasan kebun getah di Lubok Stol sebelum dihantar ke beberapa kilang kayu di sekitar Batu Karang, Pasir Mas.
“Setiap lori menerima bayaran sebanyak RM120 bagi satu trip penghantaran kayu getah tersebut.
“Pemindahan kayu tanpa permit daripada Jabatan Perhutanan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 84 Akta Perhutanan 1984,” katanya.
Beliau berkata, kes dan barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Kelantan untuk siasatan serta tindakan lanjut.