Iran dakwa kuota tiket Piala Dunia ditarik balik

Peminat menyambut ketibaan skuad Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Tijuana, Tijuana, Mexico / foto REUTERS

TIJUANA, 9 Jun – Persekutuan Bola Sepak Republik Islam Iran (FFIRI) mendakwa kuota tiket yang diperuntukkan kepada penyokong pasukan itu bagi Piala Dunia 2026 telah ditarik balik hanya beberapa hari sebelum kejohanan bermula.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ramai penyokong yang merancang perjalanan dan penginapan kini tidak dapat memperoleh tiket perlawanan pasukan kebangsaan mereka.
  • FFIRI memaklumkan proses jualan tiket dimulakan namun kini tidak dapat mengagihkan; tindakan itu bertentangan dengan semangat pertandingan dan prinsip kesaksamaan.
  • Persekutuan menimbulkan persoalan campur tangan bukan sukan dan menggesa FIFA berpegang kepada berkecuali serta memastikan isu luar padang tidak menjejaskan kejohanan.

Menurut FFIRI, tindakan itu menyebabkan ramai penyokong Iran yang telah membuat perancangan perjalanan dan penginapan tidak lagi dapat memperoleh tiket untuk menyaksikan perlawanan pasukan kebangsaan mereka.

Dalam satu kenyataan, FFIRI memaklumkan proses penjualan tiket kepada penyokong telah pun dimulakan, namun pihaknya kini tidak lagi dapat mengagihkan tiket berkenaan.

“Ramai penyokong bola sepak Iran telah membuat perancangan berdasarkan proses rasmi yang diumumkan sebelum ini untuk menghadiri perlawanan pasukan kebangsaan.

“Menafikan hak penyokong Iran untuk mendapatkan kuota tiket rasmi yang diperuntukkan kepada mereka adalah tindakan yang bertentangan dengan semangat pertandingan antarabangsa dan prinsip kesaksamaan antara negara peserta,” menurut kenyataan itu.

FFIRI turut menyifatkan perkembangan tersebut sebagai menimbulkan persoalan serius mengenai kemungkinan campur tangan faktor bukan sukan dan politik dalam penganjuran kejohanan bola sepak terbesar dunia itu.

Setiap negara yang bertanding di Piala Dunia lazimnya menerima peruntukan sebanyak lapan peratus daripada jumlah tiket bagi setiap perlawanan untuk diagihkan kepada penyokong mengikut mekanisme yang ditetapkan oleh persatuan masing-masing.

Bagaimanapun, FFIRI tidak menyatakan pihak yang bertanggungjawab terhadap keputusan berkenaan, sebaliknya menggesa FIFA berpegang kepada prinsip berkecuali, keadilan dan peraturan sedia ada.

Persekutuan itu turut menyeru badan induk bola sepak dunia berkenaan memastikan isu di luar padang tidak menjejaskan perjalanan kejohanan.

Sehingga kini, FIFA belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.

Piala Dunia 2026 akan membuka tirainya pada Khamis ini, dengan Iran dijadual memulakan kempen Kumpulan G menentang New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun, sebelum berdepan Belgium pada 21 Jun dan Mesir di Seattle pada 26 Jun. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.