
ROMPIN, 9 Jun – Seorang individu berusia 54 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Tekek, Pulau Tioman akibat memiliki 300 bungkus air ketum.
- Seorang lelaki 54 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Tekek, Pulau Tioman atas kes pemilikan air ketum.
- Serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Rompin dan Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah 3.
- Suspek warganegara Indonesia, pemastautin tetap, pernah direkodkan melakukan kesalahan sama dua tahun lalu; kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Serbuan dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin bersama anggota Markas Taktikal Pasukan Polis Marin (MARTEK) Wilayah 3 Tanjung Gemok.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi mengesahkan, hasil makluman awam serta risikan pihaknya, suspek didapati memiliki air ketum.
“Hasil pemeriksaan, 300 bungkus air ketum dirampas dengan anggaran nilai RM3,000.
“Suspek yang berasal dari Indonesia, merupakan pemastautin tetap di kawasan pelancongan ini pernah direkodkan mempunyai kesalahan serupa dua tahun lepas,”katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah dan dadah disaran menghubungi terus Bilik Gerakan IPD Rompin di talian 09-4145222.