Pasukan lacrosse negara intai kelayakan ke Olimpik

 Mohd Putra Isyraq Ahmad Azian/ RTM

KUALA LUMPUR, 5 Jun- Persatuan Lacrosse Malaysia (MLA) meletakkan sasaran untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik susulan perkembangan positif dalam penyertaan serta penglibatan pemain di peringkat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia mencatat tempat keempat pada Asian Lacrosse Games di Chengdu, China pada April lalu.
  • Kejohanan penentu kelayakan di Australia pada Oktober menjadi langkah pertama, dijangka saingan sengit Asia Pasifik.
  • Jumlah pemain meningkat melebihi 200 sejak 2014, dengan penyertaan konsisten dijangka meningkatkan kedudukan dunia.

Pegawai Pembangunan Belia MLA, Mohd Putra Isyraq Ahmad Azian berkata sasaran itu dibuat selepas Malaysia mencatat keputusan memberangsangkan apabila menduduki tempat keempat pada Asian Lacrosse Games (ALG) di Chengdu, China pada April lalu.

“Bagi melangkah lebih jauh, kami bercita-cita untuk layak ke Sukan Olimpik. Langkah pertama ialah menerusi kejohanan di Australia pada Oktober ini yang menjadi penentu kelayakan. Saya menjangkakan saingan sengit di peringkat Asia Pasifik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Penyerahan Replika Cek bersama sebuah jenama sukan tempatan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan sukan berkenaan terus menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah pemain meningkat kepada lebih 200 orang sejak mula diperkenalkan pada 2014.

Tambahnya, penyertaan secara konsisten dalam kejohanan serantau dan antarabangsa diyakini mampu membantu Malaysia meningkatkan ranking dunia pada masa depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.