
PUTRAJAYA, 5 Jun – Aspek pembangunan perkhidmatan digital negara akan diurus secara dalaman oleh agensi kerajaan dan diselaraskan oleh Kementerian Digital menerusi Jabatan Digital Negara.
- Keputusan dimaklumkan dan dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
- Langkah mengambil kira keperluan memperkukuh keselamatan dan kedaulatan data serta akses langsung kepada kod sumber sistem digital.
- Pendekatan bertujuan memperkasakan pembangunan bakat digital dalam kalangan penjawat awam untuk memperkukuh kepakaran teknologi.
- Perdana Menteri bangkitkan aduan pengambilalihan perniagaan tempatan oleh warga asing; tindakan tegas terhadap penyalahgunaan lesen, visa dan undang-undang.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu telah dimaklumkan dan dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Menurut beliau, langkah tersebut mengambil kira keperluan memperkukuh keselamatan serta kedaulatan data negara, selain memastikan kerajaan mempunyai akses langsung kepada kod sumber (source code) sistem digital yang dibangunkan.
Beliau berkata, pendekatan itu juga bertujuan memperkasakan pembangunan bakat digital dalam kalangan penjawat awam agar kepakaran berkaitan teknologi dan pembangunan sistem dapat diperkukuh secara berterusan.
“Ini mengambil kira aspek keselamatan dan kedaulatan data, akses langsung kepada kod sumber serta pembangunan bakat khususnya dalam kalangan penjawat awam,” katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Fahmi memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut membangkitkan isu aduan berhubung dakwaan pengambilalihan aktiviti perniagaan tempatan oleh warga asing.
Menurut beliau, perkara itu akan diberi perhatian sewajarnya oleh kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta melindungi kepentingan peniaga tempatan.
“Perdana Menteri telah membangkitkan isu khusus berkaitan aduan mengenai dakwaan pengambilalihan aktiviti perniagaan tempatan oleh warga asing.
Beliau mengarahkan agar tindakan penguatkuasaan yang tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang serta menyalahgunakan lesen, visa atau kemudahan perniagaan yang diperuntukkan, termasuk melibatkan warganegara Malaysia,” katanya.