KDNKA, PDRM siap siaga susulan DUN Johor, N. Sembilan bubar

Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri

IPOH, 5 Jun – Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada dalam keadaan siap siaga susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan yang dijangka membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

RINGKASAN BERITA AI
  • Persiapan awal melibatkan penugasan sumber manusia dan logistik untuk memastikan proses pilihan raya berjalan lancar, selamat dan terkawal.
  • Koordinasi antara kontinjen negeri ditingkatkan bagi menentukan keperluan penugasan anggota sepanjang tempoh pilihan raya.
  • Ketua Jabatan diminta memberi taklimat berhubung penugasan, khususnya dari segi sumber manusia, dan bantuan kontinjen berhampiran akan dimohon jika diperlukan.
  • Jumlah kekuatan ditentukan oleh keluasan kawasan, bentuk muka bumi dan keperluan operasi; orang ramai dinasihat mematuhi peraturan SPR dan bekerjasama menjaga keamanan pusat pengundian.

Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, persiapan awal melibatkan penugasan sumber manusia serta logistik sedang dilaksanakan bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar, selamat dan terkawal.

Koordinasi antara kontinjen negeri terlibat dilakukan bagi menentukan keperluan penugasan anggota sepanjang tempoh pilihan raya.

“Saya telah meminta Ketua Jabatan Ketenteraman Awam di setiap kontinjen yang terlibat dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dan Negeri Sembilan supaya memberikan taklimat berhubung penugasan yang akan dilaksanakan, khususnya dari segi sumber manusia.

“Sekiranya keanggotaan yang ada tidak mencukupi, kita akan memohon bantuan tambahan daripada kontinjen berhampiran di negeri yang terlibat dengan pilihan raya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak dan Pengerusi Perkep Kontinjen Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini.

Menurut Datuk Seri Mohd Yusri, jumlah kekuatan yang diperlukan akan ditentukan berdasarkan faktor seperti keluasan kawasan, bentuk muka bumi serta keperluan operasi setiap negeri.

Dalam pada itu PDRM turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi segala peraturan dan arahan yang ditetapkan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), selain bekerjasama dalam mengekalkan keamanan di pusat-pusat pengundian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.