4 anak Harimau Sumatera diperkenal kepada media di zoo Indonesia

Foto AFP

JAWA TIMUR, 4 Jun – Empat anak harimau Sumatera yang diancam kepupusan diperkenalkan kepada media buat pertama kali di sebuah zoo di Indonesia pada Khamis sebagai kejayaan usaha pemuliharaan spesies terancam negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Terdiri daripada tiga jantan dan seekor betina, anak harimau dilahirkan hasil pasangan Praja (12 tahun) dan Dini (10 tahun).
  • Doktor haiwan Gilang Romadhon berkata kelahiran berjalan normal tanpa komplikasi dan penjaga memantau melalui kamera litar tertutup.
  • Jumlah populasi Harimau Sumatera di Taman Safari Prigen meningkat kepada lapan, termasuk betina berusia enam tahun Isyana dan Aura.
  • Taman itu aktif dalam pemuliharaan melalui program pembiakan spesies terancam dan penyelidikan biodiversiti.

Harimau Sumatera tersebut terdiri daripada tiga jantan dan seekor betina, dilahirkan pada 23 Mac daripada pasangan induk Praja, seekor jantan berusia 12 tahun, dan Dini, betina berusia 10 tahun.

Menurut doktor haiwan Gilang Romadhon di Prigen Safari Park, proses kelahiran berlaku secara normal tanpa sebarang komplikasi.

“Proses kelahiran semuanya berjalan normal dan semula jadi. Penjaga memantau keseluruhan proses dari jauh melalui kamera litar tertutup sehingga Dini mula menyusukan anaknya. Kesemua empat anak harimau dilahirkan secara semula jadi,” katanya.

Kehadiran empat anak harimau itu menjadikan jumlah keseluruhan populasi Harimau Sumatera di taman berkenaan meningkat kepada lapan ekor, termasuk dua harimau betina berusia enam tahun, iaitu Isyana dan Aura.

Taman Safari Prigen Indonesia memainkan peranan penting dalam usaha memulihara hidupan liar menerusi program pembiakan spesies terancam dan penyelidikan biodiversiti.

Harimau Sumatera ialah subspesies harimau terkecil di dunia dan sangat terancam. Haiwan ini terdapat di Pulau Sumatera di kawasan hutan tanah rendah hingga pergunungan.-REUTERS

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.