
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Komitmen Malaysia memacu daya saing negara secara pragmatik dan mampan membuka peluang kerjasama lebih luas bersama Jepun.
- Pendekatan pragmatik memacu daya saing negara dan membuka ruang kerjasama strategik dengan Jepun.
- Fokus kepada tenaga boleh baharu, pembangunan hidrogen dan infrastruktur hijau sebagai bidang kerjasama utama.
- Perkongsian dibina atas asas kerjasama, bukan persaingan, menonjolkan semangat optimisme bersama.
- Kerajaan menekankan dasar konsisten serta pelaksanaan praktikal bagi menyokong peralihan tenaga dan keputusan pelaburan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof optimis pendekatan seperti itu, berupaya mewujudkan peluang kolaborasi strategik khususnya berkaitan tenaga boleh baharu, pembangunan hidrogen serta infrastruktur hijau.
“Kepakaran, inovasi serta pengalaman global Jepun mampu melengkapi kekuatan Malaysia bagi mencapai aspirasi ekonomi bernilai tinggi.
“Perkongsian Malaysia-Jepun selama ini, menyerlahkan semangat optimisme, yang dibina atas asas kerjasama dan bukannya persaingan,”katanya dalam ucaptama pada Forum Perundangan dan Perniagaan Malaysia-Jepun 2026.
Beliau dalam pada itu, turut menekankan komitmen negara, menggariskan dasar yang konsisten serta pelaksanaan praktikal bagi menyokong agenda peralihan tenaga negara yang merupakan penentu penting buat pemain industri dalam membuat keputusan pelaburan, khususnya ketika berdepan ketidaktentuan global.