Iran ke Mexico lebih awal tunggu kelulusan visa menjelang Piala Dunia 2026

Barisan pemain Iran pada perlawanan persahabatan antarabangsa antara Iran dan Gambia di Antalya, selatan Turkiye, pada 29 Mei 2026, sebagai sebahagian daripada persiapan mereka menghadapi Piala Dunia FIFA 2026/ AFP

ISTANBUL, 3 Jun- Skuad kebangsaan Iran dijangka tiba di Mexico awal pagi Ahad bagi menjalani kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

RINGKASAN BERITA AI
  • Skuad Iran masih menunggu kelulusan visa Amerika Syarikat; proses dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.
  • Iran diundi dalam Kumpulan G dan akan menentang New Zealand, Belgium serta Mesir dalam perlawanan kumpulan.
  • Skuad alihkan pangkalan latihan dari Tucson ke Tijuana susulan isu visa dan ketegangan geopolitik.

Menurut kenyataan pasukan, skuad dikenali sebagai ‘Team Melli’ itu akan berlepas dari Antalya, Turkiye pada Sabtu sebelum dijadualkan tiba di Tijuana, Mexico pada pukul 1.30 pagi Ahad waktu tempatan.

Pasukan berkenaan telah menjalani kem latihan di Antalya sejak 18 Mei dan masih menunggu kelulusan visa Amerika Syarikat menjelang kejohanan yang akan bermula 11 Jun hingga 19 Julai itu.

Iran diundi dalam Kumpulan G dan dijadualkan menentang New Zealand serta Belgium di Los Angeles pada 15 dan 21 Jun, sebelum berdepan Mesir di Seattle pada 26 Jun.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Ta memaklumkan pihaknya masih menunggu kelulusan visa Amerika Syarikat bagi pemain dengan proses itu dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Skuad Iran sebelum ini mengalihkan pangkalan latihan dari Tucson, Arizona ke Tijuana susulan isu berkaitan visa dan ketegangan geopolitik yang dilaporkan menjejaskan urusan perjalanan pasukan.

Iran dijadualkan menentang Mali dalam aksi persahabatan terakhir di Antalya sebelum berlepas ke Mexico. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.