Musim pertama model perkongsian perkasa ekosistem e-sukan negara

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 2 Jun Musim pertama pelaksanaan model perkongsian dalam Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPL MY) dilihat berjaya meletakkan asas yang lebih kukuh ke arah pembangunan ekosistem e-sukan negara yang mampan dan kompetitif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Model perkongsian mengeratkan kerjasama antara liga dan lapan pasukan rakan kongsi untuk pembangunan ekosistem e-sukan tempatan.
  • Pasukan menunjukkan komitmen tinggi dan sedang menyesuaikan diri dengan format liga dua pusingan penuh yang menambah intensiti persaingan.
  • Pelaburan penganjur dalam kualiti produksi, penyediaan venue dan promosi meningkatkan keterlihatan pasukan serta nilai komersial liga.
  • Playoff dijadikan CelcomDigi Dream Stage dan konsep festival menarik pengunjung bukan peminat tegar untuk memahami industri e-sukan.

Ketua Pembangunan Perniagaan Esports Malaysia di Moonton Games, Krystal Tan berkata, pendekatan baharu itu memberi peluang kepada pihak liga dan lapan pasukan rakan kongsi untuk membina kerjasama lebih erat dalam usaha mengembangkan industri e-sukan tempatan.

“Pengajaran terbesar buat kami ialah bagaimana untuk bekerjasama dengan lapan pasukan rakan kongsi dalam mengetengahkan yang terbaik mengenai Malaysia, MPL MY dan industri e-sukan negara kepada seluruh rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa.

“Kesemua lapan pasukan itu menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap program perkongsian ini. Sejak diperkenalkan pada awal musim, matlamat utama program ini adalah untuk mewujudkan ekosistem e-sukan yang lebih sihat dan stabil di Malaysia,” katanya pada sidang media menjelang aksi playoff MPL MY Musim Ke-17 di Stadium Juara, hari ini.

Menurut beliau, pasukan-pasukan terlibat masih dalam proses menyesuaikan diri dengan struktur baharu tersebut, termasuk format liga dua pusingan penuh yang menjadikan persaingan lebih sengit sepanjang musim.

Dalam masa sama, katanya, organisasi yang bertanding turut mengiktiraf pelaburan dilakukan pihak penganjur dalam aspek kualiti produksi, penyediaan venue dan usaha promosi yang membantu meningkatkan keterlihatan pasukan serta nilai komersial liga.

Matlamat utama program perkongsian itu bukan sekadar mengukuhkan MPL MY, sebaliknya memastikan kesemua lapan pasukan berkembang bersama sebagai sebahagian daripada ekosistem yang saling melengkapi.

Mengulas aksi playoff pula, Tan menyifatkan musim ini sebagai edisi istimewa kerana buat pertama kali menampilkan kesemua lapan pasukan rakan kongsi dengan CelcomDigi Dream Stage menjadi pentas kemuncak untuk menentukan juara.

Beliau turut memaklumkan acara berkenaan diperluaskan kepada konsep festival bagi menarik lebih ramai pengunjung termasuk mereka yang bukan dalam kalangan peminat tegar e-sukan.

Katanya, penganjuran festival di Stadium Juara membuka peluang kepada orang ramai untuk melihat perkembangan industri e-sukan secara lebih dekat serta memahami peranan sektor itu dalam landskap hiburan dan sukan digital negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.