
KUALA LUMPUR , 2 Jun – Johor Motorsports Racing (JMR) mengesahkan penyertaan dalam tiga perlumbaan ketahanan ikonik dunia iaitu 24 Jam Le Mans, CrowdStrike 24 Hours of Spa dan Suzuka 1000, bagi musim ini.
- Kejayaan podium Bathurst 12 Hour menjadi pemangkin keputusan pasukan menyertai siri perlumbaan ketahanan bertaraf dunia.
- 24 Jam Le Mans menjadi tumpuan utama JMR dengan kerjasama strategik bersama TF Sport dan jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R.
- Tunku Panglima Johor buat penampilan sulung Le Mans bersama Ben Green; Lorcan Hanafin, 23, lengkapkan barisan pemandu.
- Dua minggu selepas Le Mans JMR kembali ke Spa mensasarkan podium GT3 dengan empat pemandu termasuk Tunku Abu Bakar dan Jordan Love.
JMR dalam satu kenyataan rasmi memaklumkan, keputusan menyertai siri perlumbaan berprestij tinggi itu dibuat susulan kejayaan membanggakan pasukan meraih kedudukan podium pada perlumbaan Bathurst 12 Hour di Australia, Februari lepas.
Menurut kenyataan itu, perlumbaan 24 Jam Le Mans yang dijadualkan berlangsung minggu hadapan bakal menjadi tumpuan utama JMR,menyaksikan pasukan itu menjalinkan kerjasama strategik bersama TF Sport bagi mengemudikan jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R.
Pemilik yang juga pemandu JMR, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim bakal membuat penampilan sulung di litar Le Mans, bergandingan dengan pelumba profesional tetap JMR, Ben Green yang turut membuat kemunculan pertama pada perlumbaan itu.
Barisan pemandu pasukan berkenaan akan dilengkapkan oleh pelumba muda berbakat berusia 23 tahun dari England, Lorcan Hanafin, yang bakal membuat penampilan kedua beliau di litar Le Mans.
Sementara itu, Tunku Abdul Rahman menzahirkan keyakinan tinggi terhadap keupayaan pasukannya untuk bersaing dalam perlumbaan ketahanan bertaraf dunia itu berdasarkan pengalaman berharga serta kejayaan yang diperoleh bersama jentera Corvette sepanjang tahun lepas.
””Tahun ini akan menjadi kali ketiga kami menyertai Spa. Tahun lalu, sekadar menamatkan perlumbaan sudah dianggap satu pencapaian besar bagi kami kerana kami berdepan beberapa masalah teknikal sepanjang perlumbaan. Namun begitu, kami berjaya terus berjuang.
“Ia adalah salah satu perlumbaan terbesar di dunia dengan 76 buah kereta di grid permulaan. Justeru, saya menaruh sepenuh kepercayaan kepada pasukan saya,” titah baginda
Perlumbaan bertaraf dunia di Le Mans itu bakal menyaksikan sebanyak 62 buah jentera daripada tiga kelas perlumbaan bersaing tanpa henti selama 24 jam di litar sepanjang 13.6 kilometer, melibatkan gabungan jalan awam dan trek khas dengan kelajuan mencecah hampir 320 kilometer sejam (km/j).
Dua minggu selepas saingan di Le Mans, JMR dijadualkan kembali ke litar ikonik Circuit de Spa-Francorchamps di Belgium bagi menghadapi cabaran CrowdStrike 24 Hours of Spa dengan sasaran memburu podium dalam kategori GT3.
Bagi perlumbaan di Spa, JMR akan mempertaruhkan empat pemandu berpengalaman luas beraksi di litar sepanjang tujuh kilometer itu pada waktu malam, termasuk Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim serta pemandu tetap dari Australia, Jordan Love.
Tunku Abdul Rahman yang merupakan naib juara GT World Challenge Asia 2025, bersama-sama Tunku Abu Bakar dan Ben Green akan mengetuai cabaran pasukan bagi kategori Pro-Am tahun ini, dengan beberapa pengumuman lanjut mengenai pasukan bakal dibuat dalam masa terdekat.