Bot karam di Sungai Gaat, seorang lelaki dikhuatiri lemas

Foto BBP Kapit

KAPIT, 1 Jun – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bot dinaikinya karam di Sungai Gaat, Kapit berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Balang, petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa dikenali sebagai Spielberg Dylan Sekunyir, 32, masih belum ditemui.
  • Bot yang dinaiki tujuh orang terlanggar batu; enam selamat, mangsa dilihat hanyut kira-kira 50 meter sebelum hilang.
  • Operasi SAR dijalankan radius enam kilometer dengan carian permukaan zig-zag, bantuan penduduk dan perahu tempatan; operasi ditangguh akibat hujan, akan disambung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, Timothy Barat berkata, mangsa dikenali sebagai Spielberg Dylan Sekunyir berusia 32 tahun masih belum ditemui.

“Berdasarkan maklumat daripada rakan mangsa, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.15 petang semalam apabila bot yang dinaiki tujuh individu terlanggar batu di tengah sungai, sebelum karam.

Enam penumpang berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa dilihat hanyut kira-kira 50 meter dari lokasi bot karam sebelum hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JBPM menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.28 pagi tadi sebelum pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit tiba di lokasi yang terletak kira-kira 72 kilometer dari balai itu, pada pukul 10.42 pagi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dalam radius enam kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hanyut menggunakan kaedah pencarian permukaan air dan zig-zag selain pemeriksaan di tebing sungai dengan bantuan penduduk rumah panjang berhampiran.

“Bomba menggunakan perahu disediakan penduduk rumah panjang kerana bot aluminium milik JBPM tidak dapat melalui kawasan berkenaan berikutan paras air sungai terlalu cetek,” katanya.

Beliau berkata operasi SAR ditangguhkan pada 3.30 petang tadi berikutan cuaca hujan, selain faktor keselamatan perjalanan pulang melalui jalan balak dan tanah yang jauh dari lokasi operasi.

Operasi mencari dan menyelamat akan disambung semula bagi mengesan mangsa yang masih hilang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.