Penjimatan Belanjawan 2027 perlu dilengkapi reformasi struktur ekonomi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Pendekatan pengurusan fiskal yang berhemah menerusi Belanjawan 2027 dilihat mampu menyokong kemampanan kewangan negara, selain perlu dilengkapi dengan reformasi struktur ekonomi dan usaha memperluas sumber hasil bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penjimatan semata tidak mencukupi; perlu diperkasakan agar memberi impak jangka panjang dan kestabilan ekonomi.
  • Reformasi struktur, peningkatan produktiviti dan pembangunan sektor baru untuk menjana pertumbuhan ekonomi berkualiti tinggi.
  • Sektor pendidikan mesti dilindungi kerana ia pelaburan jangka panjang bagi menghasilkan modal insan berkemahiran tinggi.
  • Kesihatan dan perlindungan sosial perlu diperkasakan untuk kesejahteraan masyarakat dan melindungi golongan rentan.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata, Malaysia mempunyai kelebihan dari segi ekonomi termasuk sistem kewangan yang lebih stabil berbanding negara lain serta kedudukan strategik dalam rantau ASEAN.

“Namun begitu, kita perlu tahu bahawa penjimatan semata-mata tidak mencukupi untuk memastikan daya tahan ekonomi berada dalam satu jangka masa yang panjang dan juga stabil dan apa yang lebih penting ialah bagaimana penjimatan yang dilaksanakan tersebut perlu diperkasakan.

“Ia perlu disertai dengan reformasi struktur ekonomi, peningkatan produktiviti serta penglibatan pembangunan sektor-sektor baru yang mampu menjana pertumbuhan kualiti ekonomi ataupun kita boleh katakan yang lebih berkualiti tinggi pada masa akan datang,” katanya kepada RTM, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa Belanjawan 2027 akan menampilkan lebih banyak langkah penjimatan susulan tekanan ekonomi global yang menjejaskan fiskal negara. Ketidaktentuan geopolitik memberi kesan kepada ekonomi dunia, sekali gus menuntut perbelanjaan kerajaan yang lebih berhemah.

Bagaimanapun, Dr. Umi berkata, sektor pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial adalah antara sektor yang tidak seharusnya terlibat dengan langkah penjimatan itu kerana sektor itu memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan, kesejahteraan masyarakat, serta perlindungan golongan rentan.

“Dalam konteks ini kita melihat bagaimana pendidikan merupakan satu pelaburan jangka panjang yang mana sektor ini akan menentukan kualiti modal insan. Pengurangan bajet dalam sektor ini boleh menjejaskan usaha untuk melahirkan golongan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan bagi meningkatkan usaha daya saing negara pada masa hadapan,” katanya.

Menurut Dr. Umi, sektor kesihatan pula menjadi benteng utama tahap kesejahteraan negara, seperti yang terbukti semasa pandemik COVID-19 baru-baru ini dengan sistem kesihatan yang kukuh adalah satu keperluan strategik bagi masyarakat.

Sementara itu, sektor perlindungan sosial melibatkan golongan B40, golongan rentan, golongan emas serta usahawan kecil, kumpulan-kumpulan ini memerlukan pemerkasaan yang efisyen dan efektif agar tidak menjadi mangsa apabila negara menghadapi cabaran ekonomi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.