Sambutan Hari Wesak perkukuh nilai kasih sayang, kebijaksanaan – PM

FOTO FB ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 31 Mei — Sambutan Hari Wesak membawa mesej penting kepada masyarakat untuk terus menghayati nilai kebijaksanaan, kesederhanaan, ihsan dan kasih sayang sebagai asas kehidupan bermasyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nilai-nilai agama menjadi panduan membina masyarakat saling memahami dan memelihara keharmonian dalam negara rencam.
  • Penyebaran cinta dan kasih sayang dapat menenggelamkan hasutan kebencian, menjernihkan prasangka serta memperkukuh hormat dan persefahaman.
  • Semoga sambutan Wesak membawa ketenangan, kesejahteraan serta kebahagiaan kepada penganut Buddha dan menyemarakkan nilai kemanusiaan.

Menerusi perkongsian di Facebook, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, nilai-nilai berkenaan bukan sahaja diraikan dalam tradisi keagamaan, malah terus menjadi panduan dalam membina masyarakat yang saling memahami, menghormati serta memelihara keharmonian bersama.

“Dalam negara yang rencam budaya, agama dan latar kehidupan, nilai cinta, ihsan dan kasih sayang yang diangkat ketika sambutan Wesak memberi makna mendalam tatkala wujud kelompok yang cuba menyalakan api permusuhan antara kaum dan agama.

“Saya percaya penyebaran cinta dan kasih sayang akan menenggelamkan hasutan kebencian, menjernihkan prasangka serta memperkukuh hormat dan persefahaman, yang menjadi asas kepada keharmonian dan perpaduan negara.

“Semoga sambutan Hari Wesak tahun ini membawa ketenangan, kesejahteraan dan kebahagiaan kepada penganut Buddha, serta terus menyemarakkan nilai kemanusiaan yang menyatukan kita sebagai sebuah bangsa yang beradab dan bermaruah,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.