Terbuka Perancis denda Vallejo selepas kritik pengadil wanita

Adolfo Daniel Vallejo/ AFP

PARIS, 30 Mei- Tenis Terbuka Perancis akan mengenakan denda terhadap pemain Paraguay, Adolfo Daniel Vallejo selepas kenyataannya yang mengkritik pengadil wanita disifatkan sebagai tidak boleh diterima dan berunsur seksis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Vallejo tewas kepada Moise Kouame menerusi tie-break set kelima.
  • Beliau mendakwa pengadil Ana Carvalho tidak cukup tegas dalam perlawanan berdepan tekanan.
  • Vallejo berkata perlawanan seperti ini patut diadili oleh lelaki, menganggap wanita sukar menanganinya.
  • Persekutuan Tenis Perancis mengecam komen itu, menegaskan kecekapan pengadil ditentukan oleh profesionalisme, bukan jantina.

Vallejo, 22, sebelum itu tewas kepada pemain Perancis, Moise Kouame dalam aksi pusingan ketiga yang berakhir menerusi ‘tie-break’ set kelima pada Khamis.

Selepas perlawanan, beliau dilaporkan berkata kepada sebuah laman tenis, Clay, bahawa pengadil dari Brazil, Ana Carvalho, tidak cukup tegas dalam mengendalikan perlawanan yang berdepan tekanan sorakan penyokong tuan rumah.

“Jenis perlawanan seperti ini perlu diadili oleh lelaki. Ia sangat sukar untuk seorang wanita melakukannya. Anda memerlukan kekuatan yang tinggi untuk menentang sorakan mereka (penonton),” katanya.

Persekutuan Tenis Perancis dalam kenyataan balas menegaskan bahawa kecekapan pengadil tidak ditentukan oleh jantina, sebaliknya oleh profesionalisme serta kemampuan mengendalikan perlawanan di peringkat tertinggi.

“Keputusan sesuatu perlawanan, sama ada menang atau kalah, tidak boleh dijadikan alasan atau justifikasi kepada kenyataan seperti itu,” jelas kenyataan itu.

Badan penganjur turut menegaskan mereka akan mengenakan denda berbentuk hukuman kewangan selain mengecam keras kenyataan tersebut dan memberi sokongan kepada pengadil terbabit serta semua pegawai perlawanan di Roland Garros. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.