
GENEVA, 28 Mei – Seorang lelaki ditahan selepas mencederakan tiga individu dalam satu serangan menggunakan pisau di sebuah stesen kereta api di bandar Winterthur berhampiran Zurich, Switzerland pada Khamis.
- Kejadian berlaku sekitar pukul 6.30 pagi waktu tempatan.
- Mangsa menerima rawatan di hospital selepas insiden.
- Rakaman video menunjukkan seorang lelaki berlari keluar dari kawasan stesen.
- Operasi polis besar dilancarkan dan motif serangan masih dalam siasatan.
Polis memaklumkan kejadian berlaku sekitar pukul 6.30 pagi waktu tempatan dan suspek merupakan warga Switzerland berusia 31 tahun berjaya ditahan.
Menurut kenyataan polis, ketiga-tiga mangsa sedang menerima rawatan di hospital.
Akhbar Switzerland, Blick melaporkan pihaknya memperoleh rakaman video menunjukkan seorang lelaki berlari keluar dari kawasan stesen berkenaan.
Akhbar itu turut memetik saksi yang mendakwa lelaki berkenaan memegang sebilah pisau ketika orang ramai menjerit dan melarikan diri dari lokasi kejadian.
Insiden tersebut turut mencetuskan operasi besar-besaran pihak polis di kawasan berkenaan. Polis memaklumkan motif serangan masih dalam siasatan.- REUTERS