Pembangunan NCER pacu peranan Malaysia dalam rantaian bekalan global

Foto RTM

CHUPING, 28 Mei -Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelaburan strategik apabila pembangunan sempadan Malaysia–Thailand kini dipacu bagi menarik pelaburan bernilai tinggi serta memanfaatkan pasaran ASEAN dan peralihan rantaian bekalan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan bersepadu melalui Kerangka Pelaburan Baharu fokus pada pelaburan berteknologi tinggi dan penciptaan pekerjaan berkualiti, mempercepat kemasukan pelabur.
  • Strategi pembangunan selari dengan penjajaran semula rantaian bekalan global melalui pendekatan China+1.
  • Penyepaduan PIP dan BKH ICD bersama CVIA, KRC dan KSTP memperkukuh ekosistem ekonomi sempadan dan logistik.
  • Pelaburan besar termasuk Jabil di CVIA, Prinx Tire untuk tayar pintar, dan KSTP menjana peluang pekerjaan serta pelaburan signifikan.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Mohamad Haris Kader Sultan menerusi satu kenyataan memaklumkan pendekatan bersepadu melalui Kerangka Pelaburan Baharu memberi tumpuan kepada pelaburan berteknologi tinggi serta penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi, sekali gus mempercepat kemasukan pelabur ke wilayah utara.

Ujarnya, strategi pembangunan sempadan itu sejajar dengan perubahan struktur rantaian bekalan global, khususnya pendekatan China+1 yang semakin mendapat perhatian pelabur antarabangsa.

“Strategi China+1 bukan trend sementara, sebaliknya satu penjajaran semula struktur rantaian bekalan global. NCER menawarkan perhubungan yang unik, berisiko rendah dan kompetitif ke pasaran ASEAN,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, penyepaduan dua nod logistik utama iaitu Pelabuhan Darat Perlis (PIP) dan Bukit Kayu Hitam Inland Clearance Depot (BKH ICD), bersama taman perindustrian seperti Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Kedah Rubber City (KRC) dan Taman Sains & Teknologi Kedah (KSTP) memperkukuh ekosistem ekonomi sempadan.

Dalam perkembangan sama, projek CVIA mencatat pelaburan penting daripada syarikat global Jabil, dengan operasi awal bermula Disember 2025, manakala beberapa komitmen pelaburan baharu dijangka dimuktamadkan tahun ini.

PIP pula yang siap sepenuhnya tahun ini kini berfungsi sebagai hab logistik pelbagai mod, sekali gus mempercepat pergerakan barangan rentas sempadan ASEAN.

Di Kedah Rubber City, pelaburan sebanyak RM2.6 bilion oleh Prinx Tire dijangka memacu pembangunan industri pembuatan tayar pintar dan mesra alam, selain membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Sementara itu, KSTP dijangka menarik pelaburan bernilai RM12.9 bilion serta mewujudkan lebih 23,000 peluang pekerjaan apabila siap sepenuhnya, dengan fokus kepada sektor nanoteknologi, teknologi tinggi dan aeroangkasa.

Mengulas lanjut, Mohamad Haris berkata hasil awal daripada projek-projek tersebut membuktikan model pembangunan NCER berkesan dalam meningkatkan keyakinan pelabur.

“Projek-projek ini bukan lagi sekadar pelan tindakan, tetapi telah menghasilkan impak nyata dan memperkukuh saluran pelaburan ke wilayah utara,” katanya.

Tambahnya, NCER akan terus memanfaatkan platform serantau seperti Segitiga Pertumbuhan Indonesia–Malaysia–Thailand (IMT-GT) bagi memperluas jaringan pelaburan dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.