
KUALA LUMPUR, 28 Mei -Tentera Darat hari ini melaksanakan Program Ibadah Korban Perdana Tentera Darat Malaysia yang melibatkan kira-kira 500 pegawai dan anggota di Kem Sungai Besi.
- Sebanyak 18 ekor lembu dikorbankan, tujuh daripadanya sumbangan khas daripada pelbagai pihak.
- Ibadah korban menunaikan tuntutan agama dan mengeratkan silaturahim, mengukuhkan semangat kerjasama serta perpaduan warga tentera.
- Daging korban diagihkan kepada anggota serta golongan memerlukan sekitar Lembah Klang; penghargaan dirakamkan kepada anggota bertugas sepanjang Aidiladha.
Sebanyak 18 ekor lembu dikorbankan dalam program berkenaan, dengan tujuh daripadanya merupakan sumbangan khas daripada pelbagai pihak bagi menjayakan program tahunan itu.
Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad berkata, ibadah korban bukan sahaja menunaikan tuntutan agama, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga tentera.
“Pendekatan ini secara tidak langsung mengukuhkan semangat kerjasama dan perpaduan antara pegawai serta anggota tanpa mengira pangkat,” katanya ketika ditemui media selepas program itu.
Beliau berkata, daging korban yang selesai diproses akan diagihkan kepada anggota terlibat selain disalurkan kepada golongan yang memerlukan sekitar Lembah Klang.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota Tentera Darat yang terus bertugas di sempadan negara, perairan serta kawasan operasi sepanjang Aidiladha.
Tambah beliau, pengorbanan anggota yang tidak dapat menyambut Aidiladha bersama keluarga amat dihargai demi memastikan keamanan dan keselamatan negara terus terpelihara.