
ANGELES CITY, 25 Mei – Operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan di Angeles City, utara Manila, selepas insiden runtuhan bangunan dalam pembinaan yang kini mengorbankan sekurang-kurangnya empat nyawa, manakala 17 lagi masih dilaporkan hilang.
- Operasi mencari dan menyelamat dijalankan secara manual tanpa jentera berat untuk mengelakkan pergerakan struktur yang tidak stabil.
- Cuaca panas menyukarkan usaha dan pasukan berhati-hati ketika mengalihkan serpihan bagi mengelakkan mangsa yang masih hidup tertimbus.
- Siasatan dijalankan; kerja pembinaan kolam di tingkat 10 kini menjadi tumpuan untuk menentukan punca kejadian.
Mangsa terbaharu ditemui pada Isnin, lebih 24 jam selepas kejadian, apabila pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan satu lagi mayat dari timbunan runtuhan.
Operasi menyelamat dijalankan secara manual tanpa penggunaan jentera berat, bagi mengelakkan risiko pergerakan struktur yang masih tidak stabil.
Keadaan cuaca panas terik turut menyukarkan usaha menyelamat, selain cabaran besar dihadapi pasukan penyelamat yang perlu berhati-hati ketika mengalihkan serpihan bangunan bagi mengelakkan mangsa yang masih hidup daripada tertimbus lebih dalam.
Pegawai maklumat Biro Perlindungan Kebakaran wilayah, Maria Leah Sajili memaklumkan, salah seorang daripada mangsa yang ditemui sebelum ini pada mulanya masih mempunyai nadi, namun meninggal dunia ketika menerima rawatan, manakala seorang lagi maut akibat serangan jantung ketika masih terperangkap di bawah runtuhan.
Dalam kejadian itu, turut disahkan terkorban ialah seorang warga emas Malaysia berusia 65 tahun, yang mayatnya ditemui di bangunan hotel berhampiran yang turut terkesan akibat insiden tersebut.
Pihak berkuasa memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta mengesan pemilik bangunan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
Rekod pelan menunjukkan bangunan berkenaan asalnya diluluskan sebagai kondominium hotel sembilan tingkat, namun kerja pembinaan sebuah kolam renang di tingkat ke-10 dipercayai sedang dijalankan ketika kejadian berlaku, yang kini turut menjadi fokus siasatan.