Kes guru, murid di Johor: KPWKM dalam proses lengkapkan maklumat

Foto FB Hajah Nancy Haji Shukri

KUCHING, 24 Mei– Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menegaskan tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil berhubung kes membabitkan seorang guru dan murid Tahun Enam di Johor, sebaik sahaja maklumat lengkap diperoleh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Proses sukar mengumpul maklumat bagi melindungi identiti serta maruah kanak-kanak; maklum balas keluarga masih kurang.
  • KPWKM akan mendapatkan keterangan daripada sesiapa sahaja yang boleh membantu siasatan.
  • Seorang guru didakwa gangguan seksual terhadap murid Tahun Enam, namun ibu menarik balik laporan polis.
  • MCMC akan laksanakan Kod Perlindungan Kanak-Kanak dan Kod Pengurangan Risiko; platform perlu galas tanggungjawab, kerjasama pelbagai pihak diperlukan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata proses mengumpul maklumat tersebut agak mencabar ekoran keperluan untuk melindungi identiti serta maruah kanak-kanak terbabit.

“Kita sememangnya telah cuba menghubungi mereka, namun setakat ini kerjasama yang diberikan masih kurang mendapat maklum balas. Hal ini berkemungkinan kerana mereka tidak mahu anak tersebut diaibkan. Walau apa pun, perjanjian selama 18 tahun itu masih lama.”

“Bagi pihak kami, tindakan sewajarnya perlu diambil dengan mendapatkan keterangan daripada sesiapa sahaja yang boleh membantu siasatan,” kata Datuk Seri Nancy kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Rhythm-Ritma Kehidupan Harmoni, di sini.

Sebelum ini, seorang guru berusia 28 tahun di Johor Bahru didakwa melakukan gangguan seksual terhadap murid tahun enam.

Bagaimanapun, ibu kepada murid berkenaan dilaporkan telah menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini.

Sementara itu, pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak dan Kod Pengurangan Risiko oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal menetapkan tanggungjawab lebih jelas kepada penyedia platform media sosial untuk menangani kandungan berbahaya.

Datuk Seri Nancy Shukri menyifatkan langkah proaktif itu penting bagi memperkukuh mekanisme keselamatan pengguna, sekali gus membendung jenayah siber melibatkan golongan berkenaan.

Menurut beliau, inisiatif tersebut kritikal bagi mengekang ancaman buli siber, eksploitasi seksual dan jenayah penyantunan dalam talian (online grooming) yang boleh menjejaskan kesejahteraan emosi serta perkembangan kanak-kanak.

Justeru, beliau menegaskan kerjasama antara kerajaan, agensi berkaitan, komuniti dan penyedia platform digital amat dituntut bagi mewujudkan ekosistem talian yang lebih selamat, sihat, serta bertanggungjawab.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.