
JOHOR BAHRU, 24 Mei -Kontinjen Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) melakar pencapaian membanggakan di pentas kulinari antarabangsa apabila 48 daripada 49 pesertanya berjaya membawa pulang pingat pada World Chefs Championship (WCC) 2026 yang melabuhkan tirainya di sini, semalam.
- KEMAS meraih lapan Excellent Gold, 10 emas, 24 perak dan enam gangsa di World Chefs Championship.
- Peserta KEMAS bertanding dalam kategori seperti kek kahwin, mooncake kreatif, masakan tradisional, pasta serta pastri dan bun.
- WCC diiktiraf oleh ASEAN Records dan Asia Records sebagai kejohanan kulinari antarabangsa berulang terbesar.
Dalam kejohanan bertaraf dunia itu, KEMAS menampilkan prestasi luar biasa dengan membawa pulang lapan pingat ‘Excellent Gold’, 10 emas, 24 perak, dan enam gangsa.
Seramai 49 peserta KEMAS yang terdiri daripada gabungan tenaga pengajar, peserta latihan kemahiran, serta wakil negeri menyertai pelbagai kategori utama termasuk Modern Free Style 1 Tier Wedding Cake, Creative Mooncake, Masakan Tradisional, Pasta Challenge, serta Pastry and Bun.
Kejohanan edisi kelima itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila diiktiraf oleh ASEAN Records dan Asia Records sebagai kejohanan kulinari antarabangsa berulang terbesar berdasarkan jumlah negara peserta, bilangan chef bertanding, serta penyertaan hakim antarabangsa.
WCC 2026 merangkumi 50 kategori meliputi bidang masakan, bakeri, pastri, dan seni kulinari kreatif, sekali gus menjadikannya antara platform paling kompetitif di peringkat global.
Selain Malaysia, acara berprestij itu turut disertai pencabar dari Thailand, Brunei, Indonesia, Hong Kong, Taiwan, Singapura, China, Peru, Kanada, dan Vietnam.
Pencapaian cemerlang tersebut membuktikan keupayaan warga KEMAS dalam menguasai kemahiran teknikal bertaraf dunia, selain memperlihatkan kemampuan mereka mengangkat identiti serta warisan kulinari tempatan ke pentas global melalui gabungan kreativiti, inovasi, dan persembahan moden.
Kejayaan ini sekali gus menjadi bukti kukuh bahawa KEMAS terus relevan sebagai institusi pembangunan modal insan berkemahiran tinggi yang bukan sahaja melahirkan tenaga pengajar dan peserta latihan kompeten, malah mampu membentuk bakat tempatan yang berdaya saing di peringkat global.