
KUALA LUMPUR, 23 Mei -Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited memperkasa kanak-kanak perempuan dari peringkat awal.
- Program pembangunan kemahiran dan keupayaan diri di sekolah dilaksanakan tahun ini untuk melahirkan wanita cemerlang akademik serta berkemahiran menjana pendapatan.
- Kerjasama dengan PPD membolehkan program dua atau tiga hari dijalankan selepas peperiksaan bagi memudahkan penyertaan pelajar.
- Persidangan Rotary menjadi platform perbincangan untuk kerjasama strategik antara kelab Rotary, agensi kerajaan dan profesional bagi memperkukuh kesejahteraan masyarakat.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, usaha itu akan dilaksanakan menerusi program pembangunan kemahiran dan keupayaan diri di sekolah-sekolah pada tahun ini.
Katanya, program itu merupakan sebahagian daripada tindakan untuk mengurangkan isu sosial melalui pemerkasaan wanita dan meningkatkan bilangan wanita yang berdikari daripada segi kewangan di negara ini.
“Kerana kami perlu bekerjasama dengan PPD di setiap kawasan sekiranya mendapat kebenaran, memandangkan para pelajar masih bersekolah. Jadi, selepas peperiksaan atau pada waktu yang sesuai, kami boleh membawa mereka mengikuti program selama dua atau tiga hari.
“Ia bagi membina kemahiran supaya mereka dapat menjadi wanita berkemahiran dan mempunyai masa depan yang lebih baik, bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dari segi pembangunan kemahiran,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Rotary 2026 (DisCon26) di ibu negara.
Bertemakan ‘Bersatu Demi Kebaikan’ program menghimpunkan hampir 500 peserta terdiri daripada golongan profesional, ahli perniagaan serta agensi kerajaan.
Persidangan berlangsung hingga esok itu menjadi platform perbincangan bagi kelab Rotary dan agensi kementerian untuk meneroka kerjasama strategik dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat, pemerkasaan sosial dan agenda pembangunan negara.