
KEDAH, 22 Mei – Sebanyak 1,602 unit rumah di bawah Program Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menerima geran hak milik sah sekali gus memberi jaminan pemilikan kediaman kepada penduduk yang layak di seluruh negeri Kedah.
- Penyerahan geran memberi jaminan pemilikan kediaman kepada penerima dan hak milik yang sah.
- Program sebahagian daripada 3,860 unit di 44 penempatan PPRT, antara inisiatif pemilikan rumah terbesar KEDA.
- Penyerahan geran dibuat selepas penerima memenuhi syarat, termasuk tapisan dan pengesahan kelayakan agensi.
- Program bermula 2015 dilaksanakan berperingkat bagi memastikan penduduk luar bandar memiliki aset kediaman sah.
Jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 3,860 unit rumah di 44 penempatan PPRT KEDA, menjadikan program berkenaan antara inisiatif pemilikan rumah terbesar dilaksanakan agensi pembangunan wilayah itu.
Pengerusi KEDA, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penyerahan geran tersebut dibuat selepas semua penerima memenuhi syarat-syarat ditetapkan, termasuk proses tapisan dan pengesahan kelayakan oleh pihak agensi.
“Program penyerahan geran hak milik Desa KEDA ini telah bermula sejak tahun 2015 dan dilaksanakan secara berperingkat sebagai usaha memastikan penduduk di penempatan PPRT memperoleh hak milik sah ke atas lot kediaman mereka,” katanya pada Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Penduduk Desa-Desa KEDA Zon 4 Sik di Sik, di sini.
Majlis penyerahan geran tersebut turut menyaksikan penyerahan 61 geran kepada penerima dari empat desa terlibat iaitu Desa KEDA Sungai Semiar (48), Desa KEDA Telaga Batu (4), Desa KEDA Bendang Man (6) dan Desa KEDA Sungai Senam (3).
Menurut beliau, inisiatif itu bukan sahaja memberi jaminan pemilikan kepada penduduk, malah menjadi bukti komitmen berterusan KEDA dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat luar bandar melalui pemilikan aset kediaman yang sah dan terjamin.
Program berkenaan dijangka diteruskan bagi memastikan lebih ramai penduduk PPRT di Kedah menerima hak milik sah pada masa akan datang.