Tiada toleransi, pengedar vape dicampur dadah berdepan tindakan tegas

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib ketika berucap pada Majlis Pelancaran Health Asia Summit (HSA) 2026, di sini, hari ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Mei– Tindakan tegas akan diambil Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap pihak yang didapati mengedar cecair vape disyaki mengandungi dadah.

RINGKASAN BERITA AI
  • KKM menjalin kerjasama dengan PDRM dan Kastam bagi membanteras pengedaran cecair vape disyaki mengandungi bahan terlarang.
  • Cecair vape terbabit dipercayai diimport dari luar negara, memerlukan kawalan sempadan yang lebih ketat.
  • JSJN Bukit Aman menahan pengedar menerusi Op Vape 1.0; cecair disyaki mengandungi Furanyl Fentanyl.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, KKM turut menjalinkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi membanteras kegiatan tersebut.

“KKM kini terus memantau penggunaan rokok elektronik atau vape di negara ini susulan penularan cecair vape yang dipercayai mengandungi bahan terlarang.

Jika melibatkan unsur dadah, kita tidak boleh bertoleransi dan tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Health Asia Summit (HSA) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Katanya, cecair vape terbabit dipercayai dibawa masuk dari luar negara, sekali gus memerlukan kawalan lebih ketat di pintu masuk sempadan negara.

Terdahulu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mengesan dan menahan individu yang terlibat pengedaran cecair vape disyaki mengandungi dadah jenis Furanyl Fentanyl.

Penahanan dibuat menerusi Op Vape 1.0 di sekitar Selangor dan Johor.

Sementara itu, mengenai HSA 2026 pula, Datuk Hanifah berkata, acara berlangsung mulai hari ini hingga Jumaat.

Konvensyen itu menghimpunkan lebih 10,000 delegasi, 100 pempamer dan lebih 40 penceramah global serta serantau.

Ia menjadi platform memperkukuh transformasi sektor penjagaan kesihatan dan kesejahteraan ASEAN.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.