
CARACAS, 20 Mei – Venezuela akan membebaskan 300 tahanan pada minggu ini bawah kerangka undang-undang pengampunan yang bertujuan membebaskan tahanan politik.
- Undang-undang pengampunan politik diperkenalkan pada Februari, membawa kepada pembebasan ratusan tahanan.
- Angka pembebasan bertentangan: Foro Penal hampir 800 dibebaskan sejak Januari, 186 bawah pengampunan; Kementerian mendakwa lebih 8,000 mendapat manfaat.
- Serahan termasuk bekas pegawai polis terbabit percubaan penggulingan 2002, tahanan dituduh jenayah minyak, dan kematian tahanan politik sejak 2014.
Ketua Perhimpunan Kebangsaan, Jorge Rodriguez memaklumkan, kesemua tahanan itu dibebaskan secara berperingkat dalam tempoh lima hari.
“Antara semalam hingga Jumaat ini, 300 individu akan dibebaskan, termasuk mereka yang terbukti terbabit dalam jenayah tetapi golongan bawah umur, individu berusia lebih 70 tahun atau yang mengalami masalah kesihatan.
“Kami melangkaui undang-undang pengampunan dengan memberikan manfaat kepada individu-individu ini,” katanya.
Menurut beliau, tahanan yang dibebaskan termasuk bekas pegawai polis yang dikaitkan dengan penggulingan singkat bekas presiden berhaluan kiri, Hugo Chavez pada April 2002.
Rodriguez turut mengesahkan pembebasan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dan seorang wanita berusia lingkungan 70-an pada Isnin, selain 16 tahanan politik yang dituduh melakukan kesalahan dalam industri minyak.
“Kami tidak meminta apa-apa daripada sesiapa. Kami hanya mahu tindakan ini dihargai,” katanya.
Menurut kumpulan hak asasi manusia Foro Penal, hampir 800 individu telah dibebaskan dari penjara sejak Januari, dengan 186 daripadanya dibebaskan bawah undang-undang pengampunan.
Angka itu bagaimanapun berbeza dengan data Kementerian Dalam Negeri Venezuela yang menunjukkan lebih 8,000 individu menerima manfaat daripada pengampunan tersebut.
Daripada jumlah itu, 314 individu dibebaskan dari penjara manakala selebihnya diberikan kebebasan penuh selepas menjalani parol.
Foro Penal turut melaporkan kira-kira 20 tahanan politik meninggal dunia dalam tahanan di Venezuela sejak 2014.
Bawah perhatian rapat Washington, pemimpin interim Venezuela, Delcy Rodriguez melaksanakan beberapa siri reformasi selepas Amerika Syarikat menggulingkan bekas presiden, Nicolas Maduro pada Januari lalu.
Salah satu reformasi yang dilaksanakan ialah pengenalan undang-undang pengampunan bagi tahanan politik pada Februari yang membawa kepada pembebasan ratusan tahanan. -AFP