
ETHIOPIA, 18 Mei – Jumlah kematian akibat wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) meningkat kepada 87 orang, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) pada Sabtu.
- Strain Bundibugyo tiada vaksin khusus dan berisiko tinggi merebak ke negara jiran.
- Uganda mengesahkan kes import strain Bundibugyo, melibatkan lelaki warga Congo yang meninggal di Kampala.
- Africa CDC klasifikasikan wabak Tahap 3; risiko sangat tinggi di DRC, tinggi di Afrika Timur, sederhana di seluruh Afrika.
- Kelewatan pengesanan, penularan dalam komuniti perlombongan, kelemahan pengesanan kontak dan jurang kawalan jangkitan membimbangkan.
Africa CDC memberi amaran bahawa wabak itu berpunca daripada strain Bundibugyo yang ketika ini tidak mempunyai vaksin khusus dan berisiko tinggi merebak ke negara jiran.
“Sebanyak 336 kes, termasuk jangkitan disyaki dan disahkan, serta 87 kematian direkodkan dalam wabak terbaharu di wilayah Ituri di timur DRC, yang merupakan wabak Ebola ke-17 negara itu sejak 1976,” menurut Ketua Pengarah Africa CDC, Jean Kaseya dalam sidang media secara dalam talian.
Wabak itu turut mencetuskan kebimbangan serantau selepas Uganda melaporkan kes import strain Bundibugyo dari DRC, manakala Africa CDC memberi amaran bahawa pergerakan rentas sempadan, mobiliti berkaitan aktiviti perlombongan serta kelemahan pemantauan boleh menyukarkan usaha membendung penularan.
Uganda mengesahkan satu kes import membabitkan lelaki warga Congo berusia 59 tahun yang meninggal dunia di Kampala pada Khamis selepas disahkan positif strain Bundibugyo.
Africa CDC mengklasifikasikan wabak Ebola terbaharu itu pada Tahap 3, dengan risiko penularan dinilai sangat tinggi di DRC, tinggi di rantau Afrika Timur dan sederhana bagi seluruh benua Afrika.
Menurut badan itu, kelewatan pengesanan selama empat minggu, penularan aktif dalam komuniti di kawasan perlombongan pinggir bandar, kelemahan pengesanan kontak rapat, jurang kawalan jangkitan serta kematian beberapa petugas kesihatan menjadi antara faktor utama yang membimbangkan.
Virus Ebola sangat mudah berjangkit dan boleh menyebabkan simptom seperti demam, muntah, cirit-birit, sakit seluruh badan atau keletihan melampau, selain pendarahan dalaman dan luaran dalam kes yang serius.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar kematian Ebola berbeza-beza bergantung kepada subjenis virus berkenaan.