Iran benar kapal China melalui Selat Hormuz sejak Rabu: Media Iran

Foto AFP

TEHRAN, 14 Mei – Media Iran melaporkan pada Khamis bahawa pasukan tentera laut negara itu telah membenarkan beberapa kapal China melalui Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik sejak malam sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebenaran diuruskan melalui 'protokol transit' yang dikendalikan Iran susulan permintaan Beijing, menurut agensi Tasnim.
  • Agensi Fars dan televisyen kerajaan melaporkan lebih 30 kapal diberi kebenaran, walaupun tidak dinyatakan sama ada semuanya milik China.
  • Selat Hormuz sumbang kira-kira satu perlima bekalan minyak dan LNG dunia; penguasaan Tehran menjejaskan pasaran tenaga dan memicu sekatan maritim AS.

Menurut agensi berita Tasnim News Agency, kebenaran itu diberikan di bawah “protokol transit” yang diuruskan oleh Iran, susulan permintaan pihak Beijing.

“Laluan tersebut dilaporkan bermula pada petang Rabu selepas satu persefahaman mengenai protokol pengurusan Iran dicapai,” menurut laporan agensi berkenaan.

Agensi berita Fars News Agency turut melaporkan perkembangan sama, manakala televisyen kerajaan Iran memaklumkan lebih 30 kapal telah diberikan kebenaran untuk melalui selat berkenaan, walaupun tidak dinyatakan sama ada semuanya milik China.

Selat Hormuz sebelum ini menyumbang kira-kira satu perlima daripada aliran minyak dan gas asli cecair dunia, selain menjadi laluan penting bagi perdagangan komoditi global.

Namun, sejak tercetusnya konflik antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari lalu, laluan itu dilaporkan terjejas dan menjadi antara faktor yang menggoncang pasaran tenaga dunia.

Dalam masa sama, penguasaan Tehran ke atas laluan strategik itu turut memberikan pengaruh besar terhadap pasaran global, selain mendorong Washington mengenakan sekatan maritim ke atas beberapa pelabuhan Iran.

Perkembangan ini berlaku ketika Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berada di China bagi rundingan bersama Presiden Xi Jinping, yang turut membincangkan isu konflik di Asia Barat.-AFP