
MEKAH, 12 Mei – Jemaah haji Malaysia dinasihatkan supaya tidak mengambil pakej ziarah luar Mekah yang tidak berdaftar bagi mengelakkan risiko keselamatan menjelang kemuncak ibadah haji.
- Tabung Haji sukar memantau jemaah yang mengikuti pakej persendirian tanpa pendaftaran rasmi.
- Jemaah berisiko ditinggalkan atau dikenakan bayaran tambahan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
- Rujuk TH sebelum menerima tawaran ziarah; utamakan penjagaan kesihatan dan persediaan untuk Hari Wukuf di Arafah.
Ketua Rombongan, Mohd Hisham Harun berkata perkara itu penting kerana Tabung Haji sukar memantau keberadaan jemaah yang mengikuti pakej persendirian tanpa pendaftaran rasmi.
Menurut beliau, jemaah juga berisiko ditinggalkan atau dikenakan bayaran tambahan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Kita ingin ingatkan kepada para jemaah, pergerakan keluar daripada Tanah Haram ketika kita masih dalam keadaan berniat haji mempunyai tatacara khusus dan ada implikasi daripada aspek hukum dan juga keselamatan jemaah.
“Justeru, kami ingin menasihatkan para jemaah untuk rujuk terlebih dahulu kepada pihak TH sebelum bersetuju dengan mana-mana tawaran pakej ziarah daripada pihak luar bagi mengelakkan kesulitan di kemudian hari,” katanya.
Beliau turut menegaskan ketika ini jemaah perlu memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan serta persediaan menghadapi Hari Wukuf di Arafah.
Katanya, pakej ziarah rasmi yang dipantau Tabung Haji hanya disediakan selepas musim haji menerusi syarikat perkhidmatan yang dilantik.
Pihak berkuasa Arab Saudi dijangka mengetatkan kawalan pergerakan menjelang kemuncak musim haji susulan peningkatan jumlah jemaah di Mekah.
Setakat ini, seramai 22,711 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Tanah Suci.