Enam ditahan, dadah bernilai RM4.77 juta dirampas

Foto ihsan FB Polis Johor

JOHOR BAHRU, 11 Mei – Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah susulan penahanan enam lelaki tempatan dalam dua operasi berasingan di sekitar daerah ini, pada 7 dan 8 Mei lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan dadah bernilai RM4.77 juta termasuk MDMA, pil ekstasi, erimin 5, ketamin dan cecair disyaki ketamin.
  • Modus operandi sindiket: gunakan apartment berpagar dan rumah teres sebagai tempat simpan dan pembungkusan semula sebelum diedar pasaran tempatan.
  • Suspek positif methamphetamine dan ketamin, mempunyai rekod lampau; semua direman tujuh hari, disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut Pemangku Ketua Polis Johor, DCP Hoo Chuan Huat, keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM4.77 juta melibatkan pelbagai jenis bahan terlarang termasuk MDMA, pil ekstasi, erimin 5, ketamin dan cecair disyaki ketamin.

Dalam operasi pertama yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, lima lelaki berusia antara 27 hingga 50 tahun termasuk dalang sindiket ditahan dalam tiga serbuan bermula jam 11 pagi.

Menurut beliau, serbuan di sebuah rumah di Bandar Baru Permas Jaya membawa kepada penahanan dua suspek bersama sejumlah besar dadah dan peralatan membungkus bahan terlarang.

Antara yang dirampas ialah 20.47 kilogram dadah disyaki MDMA, 14,800 biji pil erimin 5, 1.44 kilogram serbuk ekstasi, 1,055 pil ekstasi, 146 gram ketamin serta peralatan membungkus dadah.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Mac 2026 dengan modus operandinya ialah menjadikan apartment berpagar dan berpengawal sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan semula dadah, sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Seorang lagi suspek ditahan dalam serbuan kedua di Bandar Seri Alam tanpa rampasan, manakala dua lagi ditahan di kawasan parkir di Permas Jaya bersama 4.40 gram ketamin.

Beliau berkata, nilai keseluruhan dadah yang dirampas dalam operasi pertama dianggarkan RM3.65 juta.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif methamphetamine manakala seorang lagi positif ketamin.

Kesemua mereka juga mempunyai rekod jenayah lampau.

Dalam operasi kedua pula, seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan di sebuah rumah di Taman Perling pada 8 Mei kerana dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah secara bersendirian.

Polis merampas 23 botol plastik dan 21 katrij mengandungi kira-kira 11.54 liter cecair disyaki ketamin, 3.61 kilogram serbuk MDMA, 150 gram serbuk ekstasi, 40 pil ekstasi dan 19.30 gram ketamin.

Nilai keseluruhan rampasan dalam operasi kedua dianggarkan RM1.12 juta.

Menurut Hoo, suspek yang positif ketamin dan mempunyai rekod lampau itu dipercayai aktif sejak Januari lalu serta menggunakan rumah teres sebagai tempat menyimpan dan membungkus semula dadah untuk pasaran tempatan.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.