
KUALA LUMPUR, 7 Mei – Bayaran pendahuluan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) sebanyak RM200 sehektar akan mula disalur secara berperingkat bermula 19 Mei ini.
- Matlamat: mengurangkan beban modal permulaan serta meningkatkan aliran tunai dan mempercepat persiapan musim penanaman pesawah.
- Pelaksanaan untuk pesawah berdaftar di bawah SBPKP bagi musim semasa di Semenanjung; Sabah dan Sarawak kekal ikut kadar sedia ada.
- Bayaran pendahuluan dibuat sebelum atau semasa pembajakan, baki selepas pengesahan; penyaluran terus ke akaun bank atau tunai melalui PPK.
Kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, langkah itu bertujuan mengurangkan beban modal permulaan yang sebelum ini perlu ditanggung sendiri pesawah.
Pelaksanaan bantuan berkenaan melibatkan pesawah yang berdaftar di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) bagi musim semasa (keutamaan bagi musim 1/2026) di Semenanjung Malaysia sahaja.
“Melalui pelaksanaan ini, pesawah akan menerima bayaran pendahuluan RM200 sehektar secara ‘one-off’ sebelum atau semasa kerja membajak dimulakan, manakala baki RM100 sehektar selepas kerja pembajakan selesai dan disahkan oleh agensi berkaitan,” menurut kenyataan itu.
KPKM menyatakan bagi Sabah dan Sarawak, kadar insentif kekal mengikut kadar sedia ada memandangkan pesawah di kedua-dua negeri tersebut masih menikmati subsidi diesel.
“Bagi memastikan proses pembayaran lebih cepat dan mudah, penyaluran bantuan akan dibuat terus ke akaun bank pesawah yang berdaftar, selain kemudahan pembayaran tunai melalui pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi kes-kes tertentu,” katanya.
KPKM yakin langkah tersebut akan dapat membantu meningkatkan aliran tunai pesawah, mempercepat persiapan musim penanaman serta memberi keyakinan kepada komuniti pesawah bahawa Kerajaan MADANI sentiasa mendengar keluhan dan memahami cabaran sebenar yang dihadapi mereka di peringkat lapangan.
“Kerajaan MADANI akan terus komited memastikan agenda keterjaminan makanan negara diperkukuh melalui sokongan berterusan kepada sektor penanaman padi dan kebajikan pesawah negara,” jelas kenyataan sama.