
KUALA LUMPUR, 3 Mei- Pengumuman Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan pendekatan holistik yang selari dengan nilai Islam sekali gus menitikberatkan kebajikan wanita, perlindungan keluarga serta keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab rumah tangga.
- Inisiatif meringankan beban kewangan, menyokong kesejahteraan emosi serta kestabilan institusi keluarga.
- Elaun berpotensi membina ekosistem kerja mesra keluarga dan mengangkat martabat wanita tanpa mengorbankan peranan mereka sebagai pendidik generasi.
- Langkah ini dilihat sebagai pelaburan strategik negara bagi memperkukuh modal insan dan menyokong penyertaan wanita dalam tenaga buruh.
Pengerusi Majlis Wanita Islam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (MAWIM), Profesor Dr Zuriati Ahmad Zulkarnain berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memelihara kebajikan wanita, khususnya golongan ibu yang kembali bertugas selepas tempoh cuti bersalin.
“Langkah ini bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan malah turut menyokong kesejahteraan emosi dan kestabilan institusi keluarga.
“Dalam semangat Malaysia MADANI yang menjunjung nilai ihsan, kesejahteraan dan keadilan sosial, elaun ini berpotensi menjadi pemangkin kepada pembinaan ekosistem kerja lebih mesra keluarga sekali gus mengangkat martabat wanita sebagai tonggak pembangunan negara tanpa mengorbankan peranan mereka sebagai pendidik generasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Zuriati berkata pendekatan itu bukan sekadar dasar kebajikan tetapi pelaburan strategik negara dalam memperkukuh modal insan dan institusi keluarga yang sejahtera.
Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan memperkenalkan elaun tersebut menerusi agenda Kerajaan MADANI.
Pada Jumaat lepas, ketika menyampaikan amanat Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026, Datuk Seri Anwar berkata kerajaan akan memperkenalkan EPCB sebagai langkah progresif menyokong penyertaan wanita dalam tenaga buruh serta mengurangkan tekanan yang dihadapi ibu selepas melahirkan anak.