ACLE: Al Sadd tewaskan Al-Hilal, mara ke pusingan 16 terakhir

Foto FB AFC

JEDDAH, 14 April– Juara empat kali, Al Hilal, tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Elit AFC (ACLE) selepas tewas dalam pertembungan dramatik pusingan 16 terakhir menentang Al-Sadd pada Isnin (13 April).

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlawanan berakhir 3-3 dan keputusan ditentukan menerusi penalti 4-2 untuk Al Sadd.
  • Al Sadd bangkit menyamakan kedudukan tiga kali, menunjukkan semangat juang tinggi sepanjang masa sebenar permainan.
  • Drama penalti penuh ketegangan; Firmino, Benzema dan Saimon Bouabre terlepas, Akram Afif sepakan terakhir menjaringkan gol kemenangan.

Perlawanan sengit itu berakhir dengan keputusan seri 3-3 sebelum kelab dari Qatar tersebut mengesahkan kemenangan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti.

Al Sadd mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit menyamakan kedudukan sebanyak tiga kali sepanjang tempoh permainan sebenar.

Sergej Milinkovic-Savic terlebih dahulu meletakkan Al Hilal di hadapan pada minit ke-29, namun Claudinho tenang melambungkan bola menewaskan penjaga gol, Bono, untuk gol penyamaan tujuh minit kemudian.

Memasuki babak kedua, Salem Al Dawsari kembali meletakkan Al Hilal di hadapan pada minit ke-55, tetapi Rafa Mujica pantas membalas untuk Al Sadd pada minit ke-58.

Meskipun Marcos Leonardo menjaringkan gol ketiga buat wakil Arab Saudi itu pada minit ke-67, bintang veteran Roberto Firmino memastikan kedudukan kembali seimbang 3-3 ketika permainan berbaki 20 minit.

Drama berterusan ke penentuan penalti apabila Firmino gagal menyempurnakan sepakan pertama selepas bola terkena tiang, namun kegagalan Karim Benzema yang melakukan sepakan liar kembali mengimbangi keadaan.

Bagaimanapun, sepakan terakhir Al Hilal oleh Saimon Bouabre sekali lagi terkena tiang, memberi ruang kepada Akram Afif untuk meledak gol kemenangan buat Al Sadd.

Kemenangan tersebut membawa Al Sadd ke peringkat suku akhir untuk bertemu wakil Jepun, Vissel Kobe, pada Khamis ini.

Semua perlawanan pusingan 16 terakhir bagi zon Barat dijalankan secara satu pusingan di Jeddah selepas jadual asal secara timbal balik ditangguhkan bulan lalu akibat konflik di Asia Barat. -REUTERS