
PADANG TERAP, 14 April – Jumlah rumah yang mengalami kerosakan dalam kejadian ribut di Felda Lubuk Merbau, di sini petang semalam meningkat kepada 35 buah berbanding 19 yang direkodkan pada Isnin.
- Bancian oleh JBPD dan APM sedang dijalankan untuk kenal pasti jumlah sebenar rumah terjejas; bantuan terus dipantau dan disalurkan.
- APM serta agensi lain membersihkan bumbung, serpihan dinding dan pokok tumbang yang menghalang lalu lintas.
- Hujan lebat dan angin kencang menyebabkan bumbung dan premis perniagaan diterbangkan; perabot serta peralatan elektrik rosak, tiada PPS dibuka.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Roshidi Kassim@Md Rejab menerusi kenyataan memaklumkan, ia berdasarkan bancian yang dilakukan Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JBPD) Padang Terap setakat pukul 8.00 pagi tadi.
“Bancian masih dilakukan bagi mengenal pasti jumlah sebenar rumah yang terlibat. Pada masa sama, APM bersama pelbagai agensi dan jabatan yang lain turut memantau dan memberi bantuan yang sewajarnya kepada penduduk yang terjejas,” menurut kenyataan itu.
Ia termasuk membersihkan bumbung dan serpihan dinding rumah serta pokok tumbang yang menghalang lalu lintas. Dalam kejadian pukul 4.00 petang semalam, hujan lebat beserta angin kencang melanda kawasan sekitar Felda Lubuk Merbau.
Kejadian menyebabkan bumbung rumah dan premis perniagaan diterbangkan angin sejauh beberapa meter. Malah sebahagiannya mengalami kerosakan teruk. Selain bumbung dan dinding, sebahagian penduduk terpaksa menanggung kerugian apabila peralatan perabot dan elektrik ditimpa hujan.
Bagaimanapun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan kebanyakan penduduk yang terjejas teruk berpindah ke rumah saudara-mara terdekat.