
KUCHING, 14 April – Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan diesel di Sabah dan Sarawak ketika ini berada pada tahap stabil dan terkawal.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebarang gangguan yang dilaporkan hanya melibatkan isu logistik, bukannya kekurangan bekalan.
Terdapat beberapa kes terpencil yang turut berlaku di Semenanjung dan Sabah, namun semuanya telah berjaya diselesaikan dengan segera.
“Walaupun kes yang berlaku adalah terpencil, kerajaan tetap mengambil perhatian serius. Bekalan sebenarnya mencukupi, namun terdapat gangguan dari segi tempoh penghantaran ke pelabuhan, seterusnya ke depoh dan stesen minyak susulan beberapa isu logistik.
“Bekalan itu ada, tetapi gangguan logistik menyebabkan timbul beberapa isu terpencil, yang bagaimanapun dapat ditangani pada kadar segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Sentuhan Kasih dan Jualan Rahmah MADANI di Dewan Gunasama Kampung Bratan/Asah, Jalan Puncak Borneo di sini.
Dalam pada itu, beliau turut meminta kerjasama masyarakat agar menyalurkan maklumat melalui platform aduan yang disediakan kementerian sekiranya terdapat stesen minyak yang mengalami kekurangan bekalan bahan api.