PJRM medium berkesan tangani kos sara hidup

Datuk Armizan Mohd Ali/ BERNAMA

KUCHING, 14 April – Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di seluruh negara terbukti berkesan sebagai mekanisme intervensi kos sara hidup apabila mencatatkan jumlah pelaksanaan dan transaksi memberangsangkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sebanyak 7,320 siri PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Mac lalu.

Menurut beliau, dalam tempoh sama, sebanyak 7,387,213 transaksi direkodkan, sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan daripada rakyat terhadap inisiatif berkenaan.

“Program ini membantu meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya dalam mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah. Sekurang-kurangnya, ia memberi akses kepada rakyat untuk membeli barangan pada harga diskaun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Sentuhan Kasih dan Jualan Rahmah MADANI di Dewan Gunasama Kampung Bratan/Asah, Jalan Puncak Borneo di sini.

Di Sarawak, sebanyak 775 siri PJRM telah dilaksanakan dengan merekodkan 761,398 transaksi sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.

Mengulas lanjut, Datuk Armizan berkata, kenaikan harga barangan ketika ini merupakan fenomena global yang didorong oleh krisis tenaga dunia serta konflik di Asia Barat, sekali gus memberi tekanan kepada kos logistik dan insurans import.

Menurut beliau, situasi tersebut telah pun dijangka lebih awal, justeru kerajaan mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) sebagai antara inisiatif utama bagi membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.