Agro Festival 2026 platform perkasa sektor pertanian Negeri Sembilan

Datuk Seri Jalaluddin diberi penerangan di salah sebuah reruai yang dilawati/Foto RTM

JELEBU, 10 April – Lebih RM12 juta diperuntukkan bagi memperkasa sektor pertanian Negeri Sembilan menerusi penganjuran Agro Festival 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Festival tiga hari sebagai platform untuk masyarakat mengenali teknologi dan inovasi pertanian moden.
  • Mengumpulkan agensi dan pemain industri bagi mempromosi hasil tempatan serta mengukuhkan rantaian bekalan makanan.
  • Festival diadakan di daerah berbeza setiap bulan untuk memastikan petani, penternak dan nelayan tidak ketinggalan.
  • Pelbagai aktiviti termasuk pameran agro, jualan produk tempatan dan penyampaian insentif kepada usahawan.

Program anjuran Jabatan Pertanian itu berlangsung selama tiga hari sehingga 11 April, turut menjadi platform untuk masyarakat mengetahui lebih mendalam berkaitan teknologi dan inovasi yang digunakan dalam bidang pertanian moden.

Ia menghimpunkan pelbagai agensi dan pemain industri bagi mempromosikan hasil pertanian tempatan selain memperkukuh rantaian bekalan makanan di negeri itu.

Exco Kanan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Keterjaminan Makanan Dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, festival ini akan diadakan di daerah berbeza pada setiap bulan.

“Agro Festival ini kita akan adakan dari satu daerah ke satu daerah yang lain pada setiap bulan bagi memastikan tidak ada golongan petani, penternak dan nelayan di Negeri Sembilan ketinggalan,” katanya selepas merasmikan Agro Festival 2026 di Dataran Pertang di sini.

Pelbagai aktiviti disediakan termasuk pameran agro, jualan produk tempatan serta penyampaian insentif kepada usahawan.