Polis kesan lima individu, bantu siasatan dua kes samun

Foto hiasan

SEREMBAN, 10 April – Lima lelaki sedang dikesan bagi membantu siasatan berhubung kejadian samun bersenjata dalam dua kejadian berasingan di Bandar Baru Nilai dan kawasan Rumah Rakyat Nilai di sini pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejadian pertama: perniagaan serbaneka 24 jam disamun sekitar 1.10 pagi; dua lelaki motosikal, satu mengugut dengan pisau, hilang kira-kira RM600 dan rokok.
  • Kejadian kedua: tiga lelaki menaiki dua motosikal bersenjatakan parang ugut mangsa wanita lingkungan 50-an; dicuri wang, kad bank, barang kemas; kerugian lebih RM2,000.
  • Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 394 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
  • Orang ramai diminta memberi maklumat kepada balai polis berhampiran; rondaan dan operasi pencegahan jenayah dipertingkatkan.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Johari Yahya dalam kenyataan memaklumkan kejadian pertama dilaporkan pada 1.24 pagi melibatkan sebuah premis serbaneka 24 jam di Jalan BBN 1/2F, Bandar Baru Nilai.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar 1.10 pagi melibatkan dua lelaki tidak dikenali yang menaiki sebuah motosikal.

“Seorang suspek bersenjatakan pisau dan mengugut mangsa lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an, manakala seorang lagi mengambil wang tunai dianggarkan RM600 serta beberapa karton rokok pelbagai jenama, sebelum melarikan diri,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, polis turut menerima maklumat pada 9.48 malam mengenai satu lagi kes samun melibatkan tiga lelaki yang menaiki dua motosikal dan bersenjatakan parang di kawasan perumahan rumah rakyat Nilai.

“Suspek dipercayai mengugut mangsa wanita tempatan berusia lingkungan 50-an, sebelum melarikan barang berharga milik mangsa termasuk wang tunai, kad bank dan barang kemas.

“Mangsa turut mengalami kecederaan ringan pada bahagian jari tangan akibat cuba mempertahankan beg miliknya dan jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM2,000,” tambah kenyataan itu.

Kedua-dua kes tersebut disiasat bawah Seksyen 394 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kedua-dua kejadian menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Rondaan dan operasi pencegahan jenayah di kawasan tumpuan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.