
SHAH ALAM, 9 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mempergiat pemantauan di stesen minyak serta syarikat pemborong bahan api menerusi penggunaan sistem imbasan kod QR.
- Penguatkuasaan Peraturan Kawalan Bekalan RON95 2026 dilaksanakan sejak 1 April untuk kawal penjualan dan pembelian bahan api.
- Pemeriksaan menyeluruh termasuk semakan lesen, penggunaan fleet card, kenderaan pendaftaran asing, tangki simpanan, meter pam dan pengisian ke dalam tong.
- Sebanyak 809 stesen minyak dan 79 pemborong diesel dipantau; orang awam dinasihat tidak panik dan diminta salur maklumat penyelewengan.
Ia selaras penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan, Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan RON95 2026 bermula 1 April lalu.
Menurut Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari, pemantauan turut melibatkan penggunaan fleet card bagi memastikan tiada penyalahgunaan.
“Pemeriksaan memfokuskan kepada beberapa aspek utama termasuk pemantauan kenderaan pendaftaran asing, semakan lesen barang kawalan dan kebenaran operasi bahan petroleum, pemeriksaan tangki simpanan bahan api, status tentusahan mesin pam serta aktiviti pengisian bahan api ke dalam tong atau bekas.
“Setakat ini, sebanyak 809 stesen minyak aktif dan 79 syarikat pemborong diesel dipantau bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961, selain menjamin kestabilan bekalan bahan api kepada pengguna,” katanya menerusi kenyataan.
Langkah itu dilaksanakan melalui Op Tiris 4.0 dan Kempen Kita Gempur yang melibatkan semua pejabat KPDN Selangor termasuk Shah Alam, Petaling Jaya, Gombak, Kajang, Sepang, Kuala Selangor dan Kuala Kubu Bharu.
Dalam usaha memperkemas pengurusan rekod dan tindakan segera, KPDN Selangor memperkenalkan sistem pemantauan berasaskan kod QR yang ditampal di stesen minyak terpilih.
“Sistem itu membolehkan anggota Unit Rondaan Bermotosikal merekod maklumat pemeriksaan secara masa nyata, seterusnya dipantau terus oleh pasukan di pejabat,”katanya.
Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan agar tidak mencetuskan suasana panik ketika mendapatkan bekalan bahan api, sebaliknya mendapatkan maklumat tepat di kaunter stesen minyak.
Bagi memperkukuh pemantauan, KPDN Selangor juga mengadakan sesi libat urus bersama syarikat bahan api serta bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Lembaga Lebuh Raya Malaysia dalam mengekang aktiviti mencurigakan melibatkan pergerakan kenderaan perdagangan di lebuh raya dan kawasan Rehat dan Rawat.
Sehubungan itu, orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang berkaitan penyelewengan melalui Whatsapp 019-8488000, portal e-Aduan KPDN, pusat panggilan di talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.