Kematian kanak-kanak 8 tahun di Taiping disiasat, ada unsur mencurigakan

Foto fail/RTM

TAIPING, 28 Mac –Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Taiping, Perak pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Doktor jalankan CPR kira-kira 30 minit, mangsa disahkan meninggal dunia pada 1.12 tengah hari.
  • Pemeriksaan lanjut menemui beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada badan mangsa.
  • Bedah siasat sahkan punca kematian akibat kecederaan kepala dan leher dipercayai akibat hentakan objek tumpul.
  • Polis buka kertas siasatan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan; empat ahli keluarga ditahan dan direman tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Abdul Malek Ismail berkata, doktor telah menjalankan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama kira-kira 30 minit, namun mangsa tidak menunjukkan sebarang pemulihan sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.12 tengah hari.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada badan mangsa.

“Bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat kecederaan di bahagian kepala dan leher yang dipercayai berpunca daripada hentakan objek tumpul,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sehubungan itu, polis membuka kertas siasatan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.

Beliau berkata sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping menahan empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia antara 27 hingga 53 tahun yang juga merupakan ahli keluarga mangsa.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 27 Mac bagi membantu siasatan lanjut.