
GOPENG, 27 Mac – Pentadbir sekolah diberi kuasa menentukan sama ada operasi sekolah perlu ditutup susulan cuaca panas yang melanda beberapa kawasan di negara ini ketika ini.
- Keputusan dibuat berdasarkan garis panduan Kementerian Pendidikan dan status amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.
- Jika suhu harian melebihi 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut turut, hentikan semua aktiviti luar; tutup sekolah dipertimbangkan pada 37 darjah.
- Garis panduan dilaksanakan sejak 2023, JPN, PPD dan sekolah mempunyai pengalaman menangani situasi, dengan kesihatan murid sebagai keutamaan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta status amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Beliau menjelaskan, sekiranya suhu harian melebihi 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut, semua aktiviti luar perlu dihentikan, manakala penutupan sekolah boleh dipertimbangkan jika suhu mencecah lebih 37 darjah Celsius.
“Garis panduan ini telah dilaksanakan sejak 2023 dan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta sekolah mempunyai pengalaman mencukupi untuk menangani situasi semasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kesihatan dan keselamatan murid sentiasa menjadi keutamaan, selain pentadbir sekolah perlu memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Projek Daif Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng, di sini, pagi tadi.
Sebanyak RM14.5 juta diperuntukkan bagi projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah berkenaan.
Projek di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-13 itu melibatkan pembinaan blok baharu merangkumi enam bilik darjah, pejabat pentadbiran, bilik guru serta kemudahan tambahan termasuk makmal sains, bilik kesihatan dan kaunseling.
Projek tersebut dijangka diiklankan pada Jun ini sebelum kerja pembinaan bermula hujung tahun, dengan tempoh pelaksanaan sekitar 22 bulan.