Kerjasama RTM-PRD Thailand perkukuh naratif ASEAN peringkat global

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 18 Mac -Kerjasama strategik antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Perhubungan Awam (PRD) Thailand berpotensi mengukuhkan hubungan antara rakyat selain mempromosikan naratif ASEAN di peringkat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedudukan geopolitik dan geoekonomi ASEAN memberi kelebihan untuk rantau ini muncul sebagai wilayah stabil dan pesat berkembang.
  • Kerjasama RTM dan PRD mencerminkan kekuatan kepelbagaian budaya yang membentuk keunikan identiti ASEAN.
  • Lawatan PRD bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala serta meneroka kerjasama penyiaran termasuk podcast dan acara kesedaran rantau.

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, kedudukan ASEAN dalam landskap geopolitik dan geoekonomi semasa memberi kelebihan besar kepada rantau ini untuk tampil sebagai antara wilayah paling stabil dan pesat berkembang di dunia.

Katanya, kerjasama antara RTM dan PRD Thailand juga mencerminkan kekuatan kepelbagaian budaya yang mwujudkan keunikan identiti ASEAN.

“Dinamik hubungan antara PRD dan RTM ialah kerana kita berada di persimpangan beberapa perkara, pertama, kita merupakan rantau paling stabil dan aman selain dianggap antara ekonomi terbesar di dunia iaitu ASEAN, kedua kita juga mewakili dinamik serta keunikan pelbagai budaya ASEAN dalam landskap khususnya yang mana ia sangat penting.

“Yang ketiganya, ialah membawa ASEAN ke peringkat global secara lebih meluas. Ini merupakan keindahan untuk kita mengetengahkan naratif ASEAN, memahami rakyatnya serta elemen dan keunikan disebaliknya agar komuniti antarabangsa memahaminya dengan lebih mendalam mengenai ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat delegasi PRD Thailand di Menara Angkasapuri Kota Media.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pejabat Hubungan Luar Thailand, Nutthanun Rajanakorn berkata, lawatan mereka ke RTM bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala serta meneroka peluang kerjasama baharu dalam bidang penyiaran.

Beliau berkata, antara inisiatif yang dibincangkan termasuk penerbitan siri podcast berkaitan cerita rakyat serta elemen spiritual ASEAN selain penganjuran acara bagi meningkatkan kesedaran mengenai rantau itu.

Ia dijangka membuka lebih banyak peluang pertukaran kandungan, perkongsian kepakaran serta penghasilan program bersama yang menonjolkan keunikan dan kekuatan rantau ini.

“Hari ini, PRD bagi pihak Jabatan Perhubungan Awam Thailand, hadir mengadakan lawatan ke RTM, dan kami ingin terlebih dahulu mengucapkan tahniah kepada Encik Ashwad atas pelantikan sebagai Ketua Pengarah yang baharu, dan pada hari ini juga, kami telah membincangkan beberapa aktiviti yang akan menjadi kerjasama lanjut antara PRD dan RTM,” katanya.